Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, August 17, 2014


MARANG - Seorang penternak lembu warga emas nyaris maut selepas cuba ditembak lelaki tidak dikenali dipercayai menggunakan senapang patah di rumahnya di Batu Penunggul, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, mangsa, Salleh Ahmad atau lebih dikenal sebagai ‘Tok ki Salleh’ oleh penduduk setempat tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun satu das tembakan menembusi pintu rumahnya.

Menurut mangsa, dia bernasib baik kerana ketika kejadian berada di dalam bilik air dan hanya menghulurkan tangan untuk membuka pintu rumah selepas terdengar orang memanggilnya dari luar.

Sebelum itu, katanya, suspek yang dipercayai tiba di rumahnya menaiki motosikal memanggilnya dengan nama ayah dalam nada kasar.

"Tok ki sedang buang air besar, bila dengar orang panggil, Tok ki bangun untuk buka pintu rumah, tapi Tok ki tak keluar bilik air, hanya tangan saja keluar buka pintu sebab bilik air dengan pintu rumah terletak bersebelahan. Bila buka saja pintu, tiba-tiba dengar bunyi letupan," katanya.

Salleh berkata, kerana panik, dia yang tidak berpakaian hanya mendiamkan diri di dalam bilik air sehingga terdengar bunyi motosikal keluar dari kawasan rumahnya.

Katanya, suspek tidak masuk ke dalam rumah dan dia juga sempat mengintai melalui celah lubang dari dalam bilik air untuk melihat keadaan selepas mendengar bunyi motosikal keluar dari kawasan rumahnya.

“Selepas keadaan benar-benar selamat, baru Tok ki keluar dan terus hubungi ahli keluarga terdekat, rakan dan polis untuk maklumkan kejadian,” katanya.

Kata Salleh, hasil pemeriksaan dia mendapati terdapat kesan tembakan menembusi bahagian pintu rumahnya yang turut menyebabkan tingkap di bahagian tempat tidur pecah termasuk kesan lubang pada bahagian dinding. 

Menurutnya, kejadian itu merupakan yang kedua menimpanya, namun enggan mengulas mengenai kejadian pertama dan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat. 

Salleh mengakui tidak mengetahui punca kejadian itu berlaku.

Sinar Harian sebelum ini juga pernah menyiarkan laporan warga emas itu disamun dua lelaki di rumah yang sama, pada 26 Mei tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah ketika dihubungi, semalam, mengesahkan menerima laporan dan menurutnya kes sedang disiasat.

“Kita sudah hantar pasukan forensik untuk membuat pemeriksaan di tempat kejadian, malah kita juga sudah menahan dua suspek untuk membantu siasatan awal pagi tadi (semalam),” katanya. - Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment