Awas, Logo Halal Buatan Sendiri
ALOR SETAR - Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) mengingatkan pengguna di negeri ini mengenai produk makanan menggunakan logo halal buatan sendiri.
Penolong Pengarah Penyelidikan (Unit Pengurusan Halal), Rosyadah Ramli berkata, sememangnya ada logo halal produk makanan dikesan ditulis sendiri pengusahanya.
“Meskipun, kebanyakan produk makanan mempunyai tanda halal, namun ada setengahnya didapati logo buatan sendiri. Isu ini kurang diberi perhatian mungkin kerana kesedaran dan maklumat pengguna berkaitan produk makanan logo halal buatan sendiri rendah,” katanya.
Katanya, pengguna perlulah bijak memilih produk makanan menggunakan logo halal diiktiraf agar tidak diperdaya pihak tertentu yang ingin melariskan perniagaan mereka.
“Jika mendapati produk makanan tertentu menggunakan logo halal tidak diiktiraf, sepatutnya pengguna tidak membeli produk itu,” katanya.
Namun, menurutnya, pengguna tidak perlu ragu-ragu terhadap sesuatu produk makanan, sekiranya ia memiliki logo halal diiktiraf kerana ia dipantau badan khas.
Katanya, sebaik permohonan halal diluluskan, premis dan produk makanan terbabit akan dipantau sekurang-kurangnya setiap tiga bulan bagi memastikan produk halal dimakan.
Dalam pada itu, bulan lalu, Jaik melakukan serbuan di sebuah premis menjual bahan membuat kek di Alor Setar apabila disyaki menjual dua produk coklat import diragui.
Difahamkan, dua produk coklat import didapati menggunakan logo halal meragukan sewaktu pemeriksaan ke atas premis berkenaan.
Manakala, beberapa produk berasaskan mentega, tepung dan keju yang dibungkus semula tidak diletakkan logo halal, sebaliknya hanya dinyatakan tarikh luput. - Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment