Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, August 3, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Kapal Hidrografi KD Mutiara milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan berlepas ke Lautan Hindi, esok, bagi menyertai misi mencari dan mengesan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli berkata kapal itu buat pertama kali menyertai ‘Op Search MH370′ di sana. Beliau berkata dalam misi kali ini KD Mutiara menggunakan peralatan sonar canggih yang berkeupayaan mengesan objek sejauh 7,000 meter di dasar laut.

“Tetapi untuk misi ini, jarak pengesanan hanya diperlukan sekitar 4,000 hingga 5,000 meter kedalaman dasar laut sahaja,” katanya kepada Bernama.

Katanya, peralatan berkenaan secara teknikal diguna untuk melakukan kerja ukur batimatri ke dalam laut bagi mendapatkan data gambaran atau membuat pemetaan permukaan dasar laut bagi mengenal pasti sebarang objek yang dikesan.

“Hasil data kerja ukur batimatri tersebut kemudiannya akan diproses dan dianalisis,” katanya.

Menurut Mohamad Roslan, KD Mutiara dijangka berada di selatan Lautan Hindi untuk tempoh yang belum ditentukan bergantung kepada hasil kejayaan kerja ukur batimatri itu nanti.

“Operasi ini akan turut disertai sebuah lagi kapal tambahan TLDM Bunga Mas 6 yang telah berada di Australia bersama dua buah kapal dari China dan sebuah dari Australia,” katanya.

Beliau berharap dengan bermula misi mencari dan mengesan menggunakan peralatan sonar itu dapat menemui petunjuk baharu pesawat MH370.

“Menggunakan ukuran batimatri saya berharap keputusannya memberi impak positif dan dapat mengenal pasti lokasi sebenar MH370 berada,” katanya.

Ditanya mengenai penglibatan pakar dan anggota TLDM dalam misi itu esok, Mohamad Roslan berkata perkara itu masih diperincikan lagi.

“Di samping mereka, doktor dan ustaz juga akan terbabit sama dalam misi di Lautan Hindi itu,” katanya.

Mohamad Roslam akan menyempurnakan majlis pelepasan kapal TLDM, KD Mutiara ke Lautan Hindi esok di Jeti Operasi Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada jam 8.15 pagi.

KD Mutiara ditauliahkan pada 18 Disember 1977 dan dibina di Butterworth, Pulau Pinang oleh syarikat Hong Leong Lurssen dan didalamnya terdapat Skuadron 36 Hidrografi. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment