GEORGETOWN – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang merampas 2,260 bungkus rokok seludup bernilai RM22,780 dan menahan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah kedai runcit di Bukit Mertajam dekat sini, semalam.
Ketua Bahagian Risik dan Operasi PPM Wilayah Satu, Deputi Superintendan Rosli Sufian berkata taktik licik pemilik premis yang cuba menyembunyikan rokok berkenaan di sebalik timbunan kotak minuman keras gagal mengaburi mata anggotanya dalam ‘Ops Landai’ yang bermula jam 10 pagi.
“Hasil maklumat awam dan risikan mendapati lelaki berusia 44 tahun yang juga pemilik premis terbabit aktif menjual rokok seludup berkenaan sejak setahun lepas dan rokok yang dirampas itu adalah stok jualan sebulan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(d) Akta Kastam 1957 dan pihaknya kini mengesan pembekal rokok seludup berkenaan.
Katanya, sepanjang tahun ini, PPM Wilayah Satu mengendali 12 kes sedemikian membabitkan rampasan keseluruhan bernilai RM265,110.20. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment