Remaja Dijel 6 Bulan Curi Loket RM30,000
KOTA BHARU – Seorang remaja berusia 19 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, terhadap tuduhan memiliki barangan curi iaitu loket permata hijau bertatah berlian bernilai RM30,000, Ogos tahun lalu.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nik Habri Muhamad selepas tertuduh, Muhammad Amizull Mohd Yaakob mengaku bersalah terhadap pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sebutir loket permata hijau bertatah berlian bernilai RM30,000 milik Che Gayah Omar, 59, di rumahnya di Kampung Bukit Akar, Selising, Pasir Puteh pada jam 11.20 malam, 29 Ogos 2013.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, mangsa membuat laporan polis pada 28 Ogos tahun lalu, selepas mendapati barang kemas kepunyaannya hilang di dalam bilik rumahnya hilang.
Terdahulu, tertuduh memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamed mengendalikan pendakwaan meminta hukuman sewajarnya dikenakan kerana tertuduh masih muda dan sebagai pengajaran. – Harian Metro
0 comments:
Post a Comment