Usah Tertipu Dengan Pengutip Derma
BADAN badan bukan kerajaan (NGO) Aqsa Syarif tidak pernah melantik pihak ketiga untuk menjalankan sebarang aktiviti mengutip derma bagi tabung kemanusiaan Gaza.
Pengerusinya, Profesor Madya Dr Hafidzi Mohd Noor berkata, pihaknya hanya menjalankan kutipan menerusi derma terus ke nombor akaun tabung Gaza serta kempen yang dijalankan.
Menurutnya, sebarang kempen oleh Aqsa Syarif akan dianggotai sekurang-kurangnya 10 sukarelawan dan sepanjang kempen dijalankan, mereka mendapat kebenaran pihak berkuasa dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Kami tidak membenarkan sukarelawan untuk mengutip derma di kedai-kedai makan mahupun di hadapan bank-bank. Sekiranya perkara berkenaan berlaku diharapkan orang ramai membuat laporan terus kepada pihak polis supaya siasatan dapat dijalankan.
“Sebelum ini, kami pernah mengadakan kerjasama dengan beberapa syarikat dengan kami mendapat kebenaran untuk meletakkan tabung di premis mereka. Namun pada tabung berkenaan, kami telah meletakkan butiran lengkap mengenai agensi kami supaya orang ramai
dapat menghubungi kami untuk mendapat maklumat lanjut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Al-I’tisam Relief Program, Mohd Shah Sapiei berkata, pihaknya tidak pernah meletakkan tabung derma mereka di kawasan komersil seperti kedai, bank dan pejabat.
“Kami menggunakan media sosial seperti Facebook untuk memaklumkan aktiviti yang akan dijalankan. Selain itu kutipan derma akan dilakukan semasa kempen kami.
“Masyarakat perlu mempunyai sikap sangsi sewaktu menderma, kerana sikap itu akan menyebabkan masyarakat ingin tahu tentang badan berkenaan.
"Sebagai contoh, soalan yang boleh diajukan kepada pengutip derma adalah siapa pengerusi bagi agensi berkenaan? Bagaimana duit yang dikutip disalurkan kepada golongan sasar?,” katanya.
Beliau mengakui, soal ketelusan agensi kemanusiaan dalam mengumpul dana sering kali dibangkitkan masyarakat.
“Setiap maklumat berkenaan wang yang disalurkan dan projek dilakukan hasil kutipan derma disimpan sebagai bukti NGO menjalankan tugas dan kami memantau ke mana setiap sen wang sumbangan disalurkan.
“Kami mempunyai NGO di Palestin yang bertanggungjawab menyalurkan wang untuk sebarang tujuan bantuan kemanusiaan. Sebagai contoh sekiranya ingin membina sekolah di Gaza, kita akan ke sana dan memastikan setiap projek yang dijalankan mengikut spesifikasi yang ditetapkan tanpa ada ketirisan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Media Aman Palestin, Anas Abdul Wahab berkata, isu penipuan dalam mengumpul dana kemanusiaan untuk Palestin oleh individu dan kumpulan yang tidak berdaftar perlu dipandang serius.
“Masyarakat perlu berjaga-jaga sekiranya wujud individu tidak bertanggungjawab membawa tabung derma ke premis kerana pihak Aman Palestin tidak mengarahkan anggotanya untuk mendapatkan derma dengan cara begitu, " katanya. - Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment