KUALA LUMPUR – Pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di 90
negara di seluruh dunia terbukti berjaya mengurangkan kadar kemalangan
di antara 40 sehingga 60 peratus.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, kerajaan telah
menjalankan kajian selama 10 tahun sebelum memutuskan untuk melaksanakan
sistem berkenaan di negara ini.
Oleh itu katanya, kerajaan tidak berhasrat untuk mengkaji semula
penggunaan sistem berkenaan walaupun mendapat tentangan daripada
sesetengah pihak.
“Saya telah jelaskan dan ingin tekankan sekali lagi bahawa kerajaan
tidak mempunyai sebarang rancangan untuk melakukan kajian dan
menangguhkan pelaksanaan AES.
“Kami telah melakukan kajian hampir 10 tahun dan sistem ini terbukti
berjaya di 90 negara luar. Selain itu, kami juga menerima reaksi positif
daripada majoriti pengguna jalan raya yang mahukan AES dilaksanakan
kerana tidak gembira dengan sikap buruk pengguna jalan raya lain,”
katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Sebanyak 831 lokasi hitam kemalangan bakal dilengkapi (AES) termasuk 14
lokasi yang telah beroperasi sejak 23 September lalu dan lokasinya
ditentukan berdasarkan data kemalangan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam pada itu, Cho Ha turut menolak dakwaan bahawa kerajaan
mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk memasang dan melaksanakan
sistem tersebut.
Katanya, kerajaan tidak mengeluarkan satu sen pun kerana sistem
berkenaan dikendalikan oleh syarikat konsesi yang diberi tanggungjawab
selama lima tahun.
“Selepas habis tempoh lima tahun, syarikat tersebut akan menyerahkan
semua kamera, kenderaan, termasuk peralatan di pusat operasi,” jelasnya.
-UtusanMalaysia
0 comments:
Post a Comment