PELABUHAN KLANG – Kapal induk pesawat udara Amerika Syarikat (AS), USS George Washington melakukan persinggahan sulung di sini hari ini, bertujuan antara lain mempromosikan kerjasama dan hubungan dua hala antara AS dan Malaysia.
Pegawai Pemerintahnya, Kapten Greg Fenton berkata, persinggahan selama lima hari itu akan memberi peluang kepada pelayar untuk memperluaskan kefahaman mereka mengenai persekitaran maritim Malaysia.
“Tujuan utama ialah mendengar bagaimana angkatan tentera Malaysia menjalankan tugas mereka dan bagaimana kami boleh belajar daripada mereka.
“Pelayar kami menawar diri untuk menyertai enam projek komuniti ketika berada di sini bagi melibatkan diri dengan masyarakat setempat,” katanya kepada pemberita yang dibawa melawat kapal berkenaan di di Port Klang Cruise Centre, di sini hari ini.
Beliau berkata, anak kapal juga akan bertemu keluarga rakyat Amerika yang berada di sini menerusi program Kuala Lumpur American Sailor Socials (KLASS).
Sementara itu katanya lebih 500 orang kenamaan Malaysia termasuk pegawai tentera akan dirai dalam satu majlis di atas kapal itu esok. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment