Lee Hom Mahu Cipta Lagu Untuk Shila Amzah - KUALA LUMPUR : Lagu Forever Love yang didendangkan oleh Shila Amzah ketika peringkat akhir Asian Wave 2012 lalu, telah membawa tuah kepada penyanyi cantik itu kerana berjaya menarik perhatian penyanyi asal lagu tersebut, Wang Lee Hom.
Penyanyi popular Taiwan itu telah menyuarakan hasratnya untuk mencipta sebuah lagu buat Shila dan perkara ini dimaklumkan sendiri kepada Shila oleh pihak pengurusannya di negara republik itu.
Selain itu, mereka juga mempunyai perancangan untuk mempertemukan Shila dan Lee Hom pada hujung tahun ini.
“Saya dimaklumkan secara lisan bahawa Lee Hom berminat untuk menulis sebuah lagu untuk saya dalam bahasa Mandarin selepas dia melihat saya menyanyikan lagu Forever Love ketika final Asian Wave yang lalu.
“Sungguh terharu dan bersyukur apabila seorang penyanyi bertaraf antarabangsa seperti Lee Hom menyuarakan hasratnya untuk mencipta lagu untuk saya.
“Daripada zaman sekolah lagi saya sudah meminati lagu-lagunya.
“Pada awalnya, Mr Ong ada memberitahu bahawa lagu Forever Love itu tidak cukup kuat untuk dinyanyikan ketika peringkat akhir, namun saya memasang niat sejak awal pertandingan lagi. Jika saya berjaya ke final, saya memang ingin nyanyikan lagu tersebut,”ujarnya yang terharu setelah mendapat perkhabaran itu.
Dalam pada itu, Shila yang belum pernah bersua muka dengan penyanyi itu, menanti saat untuk dipertemukan dengan salah seorang penyanyi pujaanya itu.
Bagaimanapun, buat masa ini belum ada kepastian tentang pertemuan mereka itu, tetapi pihak pengurusan Shila di China ada merancang untuk berbuat demikian.
“Belum ada sebarang pengesahan dalam pertemuan saya dengan Lee Hom tetapi sudah ada rancangan untuk kami dipertemukan di sebuah konsert sempena sambutan tahun baru di Shanghai penghujung tahun ini.
“Saya diundang membuat persembahan di konsert tersebut dan mungkin ada rencana untuk kami berduet bersama.
“Semua itu masih di peringkat awal, tetapi yang pasti saya akan bertemu dengannya satu hari nanti,”jelasnya teruja.
Dalam pada itu, Shila melihat Lee Hom sebagai contoh terbaik dalam dunia nyanyian di mana bakat dan usahanya sejak dahulu, kini telah membuka mata dan membuatkan dia terkenal di peringkat antarabangsa.
“Sedikit sebanyak apa yang saya tahu mengenai Lee Hom, dia seorang superstar yang sangat merendah diri.
“Dia yang pada awalnya tidak mampu bertutur dalam bahasa Mandarin kerana dilahirkan dan dibesarkan di Amerika, telah berjaya menguasai bahasa tersebut sekaligus menjadi popular dengan lagu Mandarin.
“Perkara ini saya lihat patut dijadikan contoh kerana usaha dan kemahuan yang ada pasti akan membawa kita ke arah kejayaan dan ianya bukanlah sesuatu yang mustahil,”ujarnya lagi. – Murai
0 comments:
Post a Comment