RAJA Ema, nama yang masih segar dalam ingatan. Sudah lama kita tidak mendengar khabar berita daripada sang pelantun lagu Jejaka Idaman dan Angan-Angan ini.
Beberapa tahun menyepikan diri akhirnya kini Raja Ema kembali ke persada seni tanah air. Untuk kemunculannya yang terbaharu, NONA diberi peluang secara eksklusif untuk berkongsi ceritera terkini artis yang semakin cantik dan langsing ini.
Berbunga-bunga hati Editor kami, Kiffy Razak tatkala penulis menyampaikan perkhabaran bahawa Raja Ema sudi untuk berkongsi kisah terbaharunya untuk edisi kali ini.
Maklumlah, sebelum ini beberapa kali beliau cuba untuk mendapatkannya namun sukar. Kini, peluang yang ada dimanfaatkan sebaik-baiknya demi memberikan hasil yang terbaik buat pembaca setia NONA khususnya para peminat Raja Ema. Sudah pasti anda begitu merinduinya. NONA menampilkan Raja Ema yang lebih segar dan elegan.
Seiring dengan perubahan waktu, begitulah jua yang dialami oleh Raja Ema. Sedar tak sedar usianya kini sudah pun mencecah 44 tahun. Saat pertama kali bersua dengannya, penulis terpegun seketika. Terdetik di hati penulis, cantiknya dia! Bersih dan mulus kulit walau tanpa secalit solekan pun di wajah.
Tampil ringkas dengan potongan rambut pendek menyerlahkan lagi seri wajahnya yang tidak dimamah usia. Lenggok suaranya yang manja tetap tidak berubah. Sama seperti dahulu. Senyum dan gelak tawanya sentiasa menghiburkan. Barangkali itulah antara rahsia awet mudanya yang sentiasa ceria. Ternyata, aura Raja Ema masih lagi menyinar sehingga ke saat ini.
Era Kegemilangan
Menyingkap kembali era kegemilangannya di pentas seni, anak kepada pasangan Raja Ibrahim dan Yusni Jaafar ini merupakan seorang penyanyi, model serta pelakon terkenal tanahair pada sekitar 80-an dan awal 90-an.
Raja Ema atau nama sebenarnya Raja Ema Raja Ibrahim aktif di dalam bidang seni bermula pada tahun 1985 hingga 1990.
Ketika itu namanya sentiasa menjadi bualan. Wajah manisnya juga sering menghiasi muka-muka hadapan majalah hiburan, akhbar dan iklan-iklan komersil.
Lagu Jejaka Idaman dari album pertamanya telah berjaya menaikkan nama Raja Ema ke persada seni tanahair. Ketika itu lagu yang berentak pop ini sangat popular dan seringkali menjadi siulan ramai.
Selain Jejaka Idaman, Raja Ema terus meniti populariti menerusi lagu Angan-Angan dari album keduanya.
Raja Ema merupakan artis pertama Malaysia yang memiliki klip video untuk lagu Di Pertemuan Ini. Bayangkan, dalam usia 16 tahun Raja Ema sudah mampu memiliki sebua kereta Mazda hasil kejayaannya dalam penjualan album pertamanya di samping hasil usahanya menjayakan pertunjukan pentas dan sebagainya dalam bidang seni.
Andainya anda masih ingat, Raja Ema pernah diberikan penghormatan sebagai artis pertama negara untuk menyampaikan lagu khas buat para atlit dunia ketika pembukaan Sukan Olimpik Seoul 1988 berjudul Mentari Korea dipetik dari album ketiganya.
Selain itu, wajah jelitanya pernah menghiasi iklan losyen New & Trendy serta sabun mandi Lux. Raja Ema juga pernah bergandingan bersama Jamal Abdillah dalam iklan Proton Saga.
Selain berjaya mencipta nama dalam bidang seni suara, Raja Ema turut cemerlang dalam seni lakonan. Pernikahan Berdarah adalah antara filem yang membawa namanya ke Indonesia sekaligus berjaya melakarkan namanya di negara tersebut.
Di dalam filem ini, Raja Ema bergandingan dengan pelakon lelaki popluar Indonesia iaitu Willy Dozan. Filem Pernikahan Berdarah ini merupakan hasil usahasama antara Malaysia dan Indonesia.
Kecemerlangannya di dalam bidang seni lakonan terbukti apabila Raja Ema berjaya meraih beberapa anugerah. Antaranya ialah Bintang Harapan Wanita Terbaik menerusi Mawar Merah di Festival Filem Malaysia Ke-7.
Selain itu, Raja Ema turut menerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-8 menerusi Antara Dua Hati. Di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1988, Raja Ema pernah mengungguli anugerah Pelakon Pembantu Wanita Paling Popular.
Kemunculan semula
Setelah beberapa tahun menyepikan diri, akhirnya Raja Ema kembali dengan membawa perkhabaran baru. Mengakui hidupnya kini lebih tenang dan bahagia di samping dua orang anaknya yang kian dewasa. Biarpun masih menggalas gelaran ibu tunggal, namun Raja Ema tetap merasa bahagia.
“Kekuatan saya selama ini adalah anak-anak. Itulah jawapan saya, mengapa saya menyepikan diri selama ini. Saya tidak ke mana-mana. Masa saya banyak dikorbankan demi melihat anak-anak membesar di hadapan mata saya sendiri.
“Biarpun terpaksa menggalas tanggungjawab tersebut seorang diri namun saya tetap kuat untuk menghadapi situasi itu. Sebab itulah saya ingin memberikan tumpuan seratus peratus kepada anak-anak dan terpaksa melupakan seketika ‘dunia’ saya.
“Memang banyak cabarannya. Namun saya kuatkan semangat untuk membesarkan mereka dengan usaha saya sendiri. Lagipun memang saya sudah berniat dan berjanji dengan diri sendiri jika ada anak saya mahu duduk di rumah dan membesarkan mereka. Saya tidak pernah menyesal dengan keputusan ini.
“Saya yakin, saya buat sesuatu yang betul walaupun pahit. Pasti akan ada hikmahnya. Apatah lagi, anak kedua saya, Ehsan yang berusia 16 tahun selalu sakit-sakit ketika kecil. Kerap masuk hospital jugalah. Sehingga kini pun kesihatannya masih kurang baik dan saya perlu selalu memberikan perhatian yang lebih kepadanya,” katanya.
Dia seterusnya berkata:
“Kini saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya kembali.
“Jauh di sudut hati saya bahawa saya masih mencintai dunia seni. Tidak saya nafikan, karier senilah yang telah meletakkan siapa saya sekarang,” katanya.
Selama ini pun saya sudah banyak berkorban masa dan tenaga untuk mereka yang saya sayang.
Segala-galanya telah saya lakukan untuk mereka. Kini tiba masanya untuk diri saya pula. Apatah lagi, cinta saya masih menebal terhadap bidang seni.
Bukan mahu mengejar populariti tetapi ingin memastikan nama saya masih segar dalam industri ini,” jelas Raja Ema yang tetap mengutamakan anak-anak.
Menurut Raja Ema, dia ada menerima beberapa tawaran berlakon dan merakamkan album baru. Namun, segalanya masih di dalam perancangan.
“Sekarang jadual saya yang aturkan sendiri. Kalau boleh saya tidak mahu terlalu sibuk dan sukar untuk ke luar kawasan jika ada sebarang penggambaran. Saya harus membahagikan masa antara kerjaya seni dan anak-anak yang masih memerlukan perhatian saya. Buat masa ini saya memilih sekitar Kuala Lumpur sahaja.
Berkenaan dengan album baru, saya masih mengumpul material-materialnya dan sedang mencari genre yang sesuai dengan vokal. Saya perlu membuat latihan vokal terlebih dahulu kerana sudah pasti vokal dahulu dan sekarang sudah berbeza. Kini vokal saya lebih matang,” ujar Raja Ema sambil tersenyum.
minah ni dulu dah pakai tudung kan?
ReplyDelete