Bogel Saya Ada Batas – Zalif - JIKA sebelum ini pelakon merangkap vokalis kumpulan Handy Black, Zul Suphian pernah tampil berani berbogel menerusi produk lakonannya seperti filem Mantra dan Keramat, kali ini giliran pelakon yang sedang meningkat naik, Zalif Sidek untuk mencuba formula yang sama.
Cuma, perihal yang dilakukan Zalif atau nama sebenarnya Mohd Zalif Naquiyudin Wan Abu Bakar Sidek, 27, kali ini tidak seberani Zul kerana katanya, babak dalam filem Pada Suatu Cinta Dahulu yang akan memasuki pawagam pada 21 Februari itu hanyalah separuh bogel saja.
Zalif yang memegang watak sebagai Rudy merupakan seorang pelajar sekolah menengah yang melalui fasa-fasa meningkat remaja dan terlibat dalam aktiviti pergaduhan di sekolah. Salah satu babak pergaduhan menuntut Zalif dibogelkan oleh sekumpulan samseng sekolahnya kemudiannya diikat di tiang bendera selepas dibogelkan dan hanya bertutup sehelai kain bercorak ‘smiley’ bahagian bawah perutnya.
Sebelum ini Zalif juga pernah beraksi berani membuka baju menerusi filem Hantu Dalam Botol Kicap yang digandingkan bersama pelakon muda, Mikail Andre tahun lalu.
Mengulas mengenai perkara itu, Kosmo! yang turut menghadiri malam gala tayangan perdana filem Pada Suatu Cinta Dahulu di Cathay Cineleisure E@Curve, Mutiara Damansara pada malam Isnin lalu mendapatkan penjelasan lanjut daripada pelakon yang mula terkenal melalui filem Papa I Love You itu.
Kosmo!: Naskhah kali ini menampilkan Zalif dalam versi sedikit berbeza daripada sebelum ini dan menuntut keberanian untuk tampil separuh bogel. Komen anda?
ZALIF: Lebih kurang 70 peratus babak saya dalam filem Pada Suatu Cinta Dahulu memerlukan saya tidak berpakaian sebenarnya. Saya sudah bersedia untuk dikritik atas tindakan ini namun pengalaman ini merupakan yang pertama dan terakhir saya. Selepas ini saya tidak akan mengulangi babak tidak berpakaian lagi.
Apa yang mendorong Zalif untuk menerima watak dan cabaran ini?
Tiada pelakon yang berani terima cabaran seperti ini dan kebetulan saya mahu mencuba sesuatu yang berbeza daripada yang pernah saya lakukan sebelum ini. Lagipun, filem ini berkisar kehidupan pelajar sekolah yang terlibat dengan kejadian buli sehingga dibogelkan di hadapan kawan-kawan.
Zalif tidak kisah dikritik dan dikecam selepas ini?
Saya tidak kisah dikritik kerana saya menjalankan tugas saya sebagai seorang pelakon. Saya bukannya berbogel sepenuhnya sehingga menampakkan bahagian anggota badan yang tidak sepatutnya. Untuk babak itu saya melipat seluar pendek saya hingga atas paras paha dan ditutup dengan kain di hadapannya sehingga menampakkan seolah-olah saya berbogel. Tapi sebenarnya saya separuh bogel.
Adakah Zalif cuba membuktikan sesuatu kepada bekas teman rapat anda, Fida menerusi aksi begini?
Tidak sama sekali. Filem ini menjalani penggambaran sekitar pertengahan tahun lalu sebelum kami mulai rapat. Babak itu tiada kena mengena dengan dia (Fida).
Berbicara mengenai Fida, bagaimana perkembangan hubungan Zalif dan dia sekarang?
Saya dan dia sudah tiada apa-apa hubungan lagi. Kontroversi yang timbul membuatkan saya mengambil keputusan untuk berundur diri terutama kes orang ketiga yang sampai ke hari ini saya buntu dan gagal bertemu jawapan. Dia juga semakin menjauhkan diri daripada saya.
Masih berhubung dengan Fida selepas keluar kenyataan Fida diserang teman wanita Zalif?
Kami masih berhubung dan jika bertemu saya akan menegur dia. Cuma kami sudah jarang berhubung menerusi telefon sekerap dahulu. Baru-baru ini saya ada menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan ayah pengurus peribadinya. Saya juga ingin jelaskan di sini bahawa kami hanya berkawan rapat sebelum ini dan belum sampai tahap bercinta.
Adakah Zalif sudah bertemu seseorang yang mungkin boleh disifatkan sebagai seorang kekasih?
Belum. Saya masih belum berjumpa dengan orang lain buat masa sekarang. Keutamaan saya adalah kerjaya dan ini perkara utama yang ingin saya kejar buat masa sekarang. Pihak Metrowealth juga tidak menghalang saya untuk bercinta atau berkahwin. Asalkan saya tidak mengabaikan tugas saya sebagai seorang anak seni. – Kosmo
sebagai seorang Islam, sepatutnya dia memahami batas2 aurat seorang muslim & malu utk membuat kenyataan sebegitu...
ReplyDelete