Mercun Punca Lebuh Raya Runtuh - BEIJING : Sebuah trak yang sarat membawa mercun untuk sambutan Tahun Baru Cina semalam meletup mengakibatkan lebuh raya bertingkat sepanjang 80 meter runtuh dan lebih 25 buah kenderaan terhumban dari ketinggian 30 meter.
Agensi berita tempatan, CCTV melaporkan insiden yang berlaku di Mianchi, wilayah Henan itu menyebabkan lapan maut dan 11 yang lain cedera selepas tujuh buah kenderaan berjaya dikeluarkan daripada runtuhan. Jumlah mangsa dijangka meningkat.
Letupan itu dikatakan begitu kuat sehingga menyebabkan cermin tingkap kawasan rehat pemandu trak berhampiran pecah.
Foto yang dirakam oleh agensi berita Xinhua menunjukkan tayar belakang sebuah trak berada di hujung lebuh raya yang musnah itu. Anggota bomba juga dilihat sibuk menyembur air ke arah beberapa buah kenderaan yang terbalik.
Sehingga kini, punca kejadian masih belum dapat dipastikan.
Insiden letupan disebabkan oleh mercun bukan perkara baru di China. Pada tahun 2006, satu bilik stor yang dipenuhi mercun di Henan meletup dan membunuh 36 mangsa. – AP
0 comments:
Post a Comment