|
BAIT-BAIT lagu yang menangkap deria kedengaran: “Sayang apa khabar denganmu, di sini ku merindukan kamu.” Ia mudah sahaja menyerap masuk menjadi halwa telinga.
Irama yang catchy bersama adunan vokal keras menyuntik rasa ingin tahu siapakah gerangan penyanyi wanita bersama pelat bahasa Indonesia pekat di sebalik lagu berjudul Sayang itu. Dialah Sheryl Gething atau serasi disapa Shae, 18.
Ketika pertemuan sulung bersama gadis kacukan Australia (bapa) dan Riau (ibu) itu diaturkan oleh syarikat rakaman Warner Music Malaysia petang Jumaat minggu lalu, Shae nyata begitu mesra.
“Seboleh-bolehnya saya mahu berbicara dalam bahasa Indonesia. Penat kalau selalu bercakap bahasa Inggeris,” bicaranya laju dalam nada berseloroh.
Shae mengemaskini ruang selesa untuk terus berbicara. Katanya, ini adalah kali pertama dia menjejakkan kaki ke Malaysia.
Teruja dan gembira apabila ada peminat yang menyapa dia ketika berjalan-jalan sekitar ibu kota Kuala Lumpur, Shae membidik sasaran karier seninya di sini.
“Saya mahu lagu (Sayang) ini dikenali di Malaysia terlebih dulu sebelum Indonesia. Apabila diberikan peluang datang ke sini (Malaysia), ia cukup luar biasa dan tidak pernah saya menduga.
“Semoga pendengar di Malaysia boleh menerima muzik saya terutama lagu Sayang,” kata Shae.
Sayang yang dicipta sepenuhnya oleh pemain dram kumpulan Winner, Posan Tobing berentak pop, lirik yang ringkas dan mesra pendengar.
Tiga jiwa
Anak sulung daripada dua beradik itu juga mempertaruhkan tujuh buah lagu lain menerusi album yang berjudul The First itu. Antaranya Aku Belum Pernah, Putus Nyambung, Hangat Hangat Kuku, Cintaku Telah Mati Untukmu dan single yang sedang hangat diputarkan di Indonesia, Kok Telfon Telfon Sih?
“Saya bertanggungjawab meletakkan emosi dalam setiap buah lagu supaya pendengar dapat merasai apa yang saya rasakan.
“Saya tahu apa yang saya mahukan, kerana itu saya memberikan sepenuh perhatian sepanjang tempoh pembikinan album ini selama satu setengah tahun.
“Konsep, pemilihan lagu, gambar, warna, klip video dan semuanya yang lain saya harus terlibat,” ujarnya bersungguh-sungguh.
Menarik mengenai album itu, terdapat sebuah buku kecil disertakan bersama cakera padat yang menampilkan tiga jiwa Shae iaitu rock, girl next door dan sofistikated.
Shae memberikan kepercayaan kepada Posan Tobing untuk menjadi penerbit album The First selain turut dibantu oleh Rio Winner, Beben Winner, Dody Katamsi, Erick dan Jimmy.
Memilih Posan pasti ada sebabnya. Kata Shae: “Posan bertanggungjawab mencungkil bakat saya sejak berumur 15 tahun lagi. Perkenalan dengannya pada sebuah acara nyanyian merupakan titik permulaan karier saya.”
Menghuraikan lebih lanjut faktor album sulungnya mengambil masa terlalu lama untuk diterbitkan, kata Shae dia perlu menamatkan persekolahan sebelum memberi fokus dalam bidang nyanyian.
“Saya mula menyanyi di rumah dan kemudiannya menjadi semakin serius, sehinggakan saya rasa menyanyi itu tidak susah.
“Akhirnya menyanyi menjadi sebahagian daripada hidup saya dan jika tiga hari tidak menyanyi saya akan jadi gelisah.
“Apabila saya memberitahu ibu saya akan kemahuan untuk menjadi penyanyi, dia meletakkan syarat agar menghabiskan persekolahan dulu. Tambahan, Posan ketika itu agak sibuk dan tidak sempat mencipta lagu untuk saya,” cerita Shae.
Kritik
Tidak gusar dikritik, namun kata Shae biarlah ia berpada-pada dan bukan semberono. Katanya lagi, kritikan mematangkan diri seseorang penyanyi sekali gus mendidik agar lebih cekal.
“Saya tidak kisah jika ada pihak yang mahu mengkritik atau menilai diri saya, asalkan bukan bertujuan menjatuhkan. Saya terima ia sebagai satu pelajaran,” tegasnya.
“Bukan senang mendapat perhatian khalayak tapi jika ada kemahuan pasti akan ada caranya. Saya akui sekarang semakin banyak persaingan namun, saya tidak memikirkan akan hal itu.
“Saya masuk ke dalam bidang nyanyian untuk menjadi penghibur, jika kita memberikan yang terbaik sudah pasti orang akan melihat kita,” ujar Shae berhubung prinsip berkarya.
Selain menyanyi, Shae pernah menceburkan diri dalam bidang lakonan. Mengakui dirinya seorang ‘bule kampung’ (gadis tipikal Indonesia), Shae bagaimanapun tidak melihat kariernya berkisar akan dunia lain selain nyanyian.
“Saya pernah berlakon teater, sinetron dan iklan komersial. Saya lalu mencuri semua hasil dan pengalaman daripada bidang-bidang itu untuk diterjemahkan dalam muzik. Muzik adalah keghairahan saya dan selamanya akan kekal begitu,” ungkap Shae.
0 comments:
Post a Comment