KUALA LUMPUR – Majikan yang mempunyai lebih 50 pekerja dikehendaki menghantar butiran caruman bulanan secara `online’ bermula 1 April ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP, Datuk Ibrahim Taib berkata, Borang A bercetak tidak lagi dihantar kepada mereka berkuatkuasa tarikh tersebut.
“E-Caruman adalah satu kemudahan `online’ yang disediakan melalui i-Akaun di laman web myEPF (www.kwsp.gov.my).
”Majikan boleh menggunakan kemudahan ini pada bila-bila masa dan di mana-mana bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab itu setiap bulan dengan mudah dan cepat. Saluran elektronik yang lain termasuk perbankan Internet dan CD/Disket berkunci,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Ibrahim berkata, e-Caruman juga menawarkan kemudahan kepada majikan untuk menghantar butiran caruman KWSP dengan selamat dan menjimatkan masa sekali gus mengurangkan kos operasi dalam jangka masa panjang dan meningkatkan kecekapan operasi.
Menurutnya, langkah itu juga memastikan majikan menghantar butiran caruman yang tepat dan mudah berbanding dengan kaedah mengisi borang secara manual.
“Ia membantu majikan menjimatkan masa kerana tidak perlu berulang-alik ke pejabat KWSP untuk membetulkan maklumat yang tidak tepat.
“Lebih penting, penghantaran online melalui e-Caruman membolehkan caruman dikreditkan ke dalam akaun KWSP ahli dengan lebih cepat,” katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment