Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, March 18, 2014

No Comment

KANGAR – Kerajaan memberi perhatian serius dalam menjaga kawasan pembiakan ikan terutama pencerobohan yang menjejaskan bekalan ikan untuk negara, kata Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Ahamad Sabki Mahmood.

Menurutnya kawasan yang dikenal pasti menjadi tempat utama pembiakan ikan ialah kawasan Zon A iaitu jarak lima batu nautika dari pantai yang dikhususkan kepada nelayan-nelayan pantai untuk menangkap ikan.

Justeru nelayan yang menggunakan bot besar termasuk bot pukat tunda dilarang sama sekali menangkap ikan di kawasan tersebut kerana mengancam benih-benih ikan, katanya.

Ahamad Sabki menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis interaksi dengan nelayan pukat tunda seluruh Perlis di Kuala Sungai Baru dekat sini, petang semalam.

Beliau berkata bot-bot pukat tunda yang ditahan kerana menangkap ikan di kawasan Zon A boleh didenda antara RM3,000 dan RM12,000 mengikut saiz bot dan lesen digantung serta subsidi minyak akan ditahan selama setahun.

Sehubungan itu Ahamad Sabki berharap kira-kira 28,000 nelayan yang memiliki lebih 6,000 bot pukat tunda di seluruh negara mematuhi peraturan tersebut yang akan dikuat kuasa 1 Jun ini.

“Mereka seharusnya menangkap ikan di kawasan yang dibenarkan di Zon B,C atau C2 manakala penggunaan bot pukat rawa surong, pukat buaya dan pukat siput retak seribu ditegah sama sekali,” tambahnya.

Katanya larangan menggunakan bot pukat tunda di kawasan Zon A bertujuan  melindungi lebih 81,000 nelayan pantai yang tidak mempunyai keupayaan menangkap ikan di kawasan melebihi lima batu nautika dari pantai.

“Malaysia berupaya menghasilkan 1.2 juta tan metrik ikan setiap tahun atau 126 peratus dari keperluan sara hidup yang membolehkannya mengeksport ikan ke luar negara,” katanya menambah 48 peratus daripada bekalan ikan adalah hasil tangkapan ikan di pantai barat Semenanjung Malaysia. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment