KUALA LUMPUR – PAS mengkritik negara-negara Islam kerana didakwa kurang mengambil peduli terhadap isu 529 orang penyokong Ikhwan Muslimin dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah Mesir baru-baru ini.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Riduan Mohd. Nor berkata, cuma seorang pemimpin negara Islam iaitu Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang membuat kritikan terbuka terhadap keputusan mahkamah tersebut.
“Isu hukuman mati Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Prof. Dr. Badie bersama 529 penyokong Ikhwan Muslimin seperti tidak mendapat tempat dalam hati pemimpin dunia Islam. Ia seakan berita basi dan tidak sensasi, apatah lagi mengetuk pintu hati mereka.
“Sebelum ini pun hanya Erdogan yang lantang bersuara membela umat Islam dibunuh di Syria dan Gaza sewaktu pemimpin Islam lain sibuk dibuai kesenangan dan lena dengan dunia masing-masing,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Riduan berkata, pemimpin-pemimpin negara Islam lain sepatutnya berasa mahu dengan keberanian Erdogan menyuarakan pembelaan ke atas umat Islam di seluruh dunia tanpa mengira bangsa dan keturunan.
Beliau turut melahirkan keyakinan Malaysia mempunyai keupayaan untuk membangkitkan isu itu diperingkat global dengan mendapatkan sokongan negara Islam lain melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
0 comments:
Post a Comment