Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, March 16, 2014

No Comment

MUKAH – Sebagai Melanau jati, calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Balingian Yussibnosh Balo, mempunyai nama yang agak lain daripada kebanyakan orang Melanau.

Ini menyebabkan banyak orang tertanya-tanya sama ada beliau berketurunan Rusia, Ukraine atau Scotland.

Menjelaskan tentang perkara ini, Yussibnosh berkata seperti kebanyakan penganut Kristian yang mengambil berat tentang nama anak mereka, bapanya, Balo, memilih nama Eusebius untuknya, mengambil sempena nama seorang ilmuan agama Kristian terkenal dari Itali.

Bagaimanapun, ketika bapanya ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendaftar kelahirannya, mungkin pegawai berkenaan tidak biasa dengan nama itu atau mempunyai masalah pendengaran, katanya kepada pemberita di Lamin Dana, sebuah replika rumah/pusat kebudayaan Melanau bersaiz sebenar di Kampung Telian, kira-kira 10 minit perjalanan dengan kereta dari sini malam tadi.

Yussibnosh berkata pegawai itu menggunakan ejaan sendiri untuk nama Eusebius. Begitulah puncanya bagaimana nama Yussibnosh muncul dalam kalangan penduduk Kampong Telian.

Bekas pegawai daerah berusia 48 tahun ini menjadi kebanggaan penduduk kampung itu, yang mewakili kira-kira 1,000 daripada 13,633 pengundi berdaftar di kawasan Balingian.

Beliau adalah anak tempatan pertama yang dipilih menjadi calon pilihan raya untuk bertanding di kawasan itu (seorang lagi anak tempatan, Datuk Aidan Wing yang terpilih menjadi calon adalah bekas anggota dewan undangan negeri Miri).

Nama sesetengah penduduk Mukah, daerah yang terletak di bahagian tengah Sarawak serta didiami 130,000 penduduk Melanau, agak aneh bagi mereka yang tidak biasa dengan kawasan itu.

Sekiranya anda terjumpa seseorang yang mempunyai nama Melayu, siap dengan bin atau bintinya, jangan terus menganggap orang berkenaan beragama Islam.

Pernah terjadi, para pegawai jabatan agama Islam menangkap penjawat awam yang memakai tanda nama “Razak bin Mahli” atau “Osman bin Kudat” kerana makan di khalayak ramai pada bulan puasa, sebelum mendapati mereka sebenarnya adalah orang Melanau beragama Kristian.

Diana Rose, bekas wartawan dan aktivis kebudayaan, berkata banyak orang Melanau Kristian menggunakan nama Melayu. Nama Melati atau Noraini memang tidak asing bagi wanita Melanau.

Pemilihan Yussibnosh sebagai calon BN diterima baik oleh 7,705 pengundi Melayu/Melanau, 3,875 Iban, 1,683 Cina dan etnik lain.

“Kepimpinan tertinggi nampaknya mengotakan janji yang dibuat pada era pentadbiran ketua menteri Sarawak ketiga, Tun Abdul Rahman Ya’akub.

“Perjanjian itu ialah sekiranya anggota parlimen Mukah adalah seorang Islam, maka anggota dewan undangan negeri Balingian atau Dalat mestilah seorang Kristian atau sebaliknya. Walaupun tidak dibuat secara bertulis, namun perjanjian ini sentiasa dipatuhi.

“Ini bukan soal bangsa atau agama. Kami tidak kisah tentang perkara itu kerana kebanyakan kami di kampung ini mempunyai hubungan keluarga. Apa yang penting ialah para pemimpin ingat kepada perjanjian yang sudah berusia 51 tahun itu,” kata Diana.

Menurut beliau, jumlah Melanau Kristian dan Islam daripada kalangan 7,705 pengundi Melayu/Melanau yang ada, hampir sama.

Sementara itu, Yussibnosh, yang gemar memancing pada waktu lapang dan dijangka berdepan dengan calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata beliau bersedia menghadapi sebarang cabaran.

“Kemiskinan sewaktu kecil mengajar saya banyak perkara. Saya berazam untuk mengubah nasib golongan miskin. Pendidikan yang baik adalah kunci bagi kehidupan yang lebih sempurna bagi generasi baharu. Saya mahu ibu bapa memberi tumpuan terhadap usaha mengukuhkan institusi keluarga,” katanya.

Ketika masih kanak-kanak, bekas pegawai daerah ini terpaksa bangun pada pukul 5.30 pagi dan berjalan selama sejam untuk ke sekolah. Ketika menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM) pula, beliau sering mengikat perut untuk menjimatkan wang bagi tujuan lebih penting.

Pakar dalam menyediakan “Umai”, sejenis makanan tradisional kaum Melanau yang dibuat daripada ikan segar, Yussibnosh dijangka mendapat sokongan padu daripada 3,875 pengundi Iban di kawasan itu.

Isteri beliau adalah seorang Iban dari Simunjan dan mereka mempunyai tujuh cahaya mata, yang semuanya fasih berbahasa Mandarin kerana menuntut di sekolah Cina. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment