Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, April 22, 2014

No Comment

WASHINGTON – Kerajaan Australia akan membuat keputusan dalam tempoh beberapa hari lagi sama ada mahu mengubah atau mengurangkan operasi mencari sebuah pesawat penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang di Lautan Hindi sejak 8 Mac lalu.

Duta Australia ke Amerika Syarikat (AS), Kim Beazley berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan semua negara yang terlibat dalam misi tersebut sebelum sebarang keputusan diambil.

Kata Beazley, semua negara yang terlibat akan duduk berbincang dan membuat pertimbangan semula sekiranya tiada sebarang objek dikesan di lokasi carian di selatan Lautan Hindi.

Ketika ini, kapal selam mini yang dikenali sebagai Bluefin-21 sedang melakukan carian di lokasi seluas 133 kilometer persegi di Lautan Hindi tetapi tiada sebarang objek berkaitan MH370 dapat dikesan.

Ujarnya, antara perkara yang akan dibincangkan adalah perubahan pada usaha mencari di udara dan permukaan laut serta kemungkinan melantik kontraktor swasta bagi menggantikan aset ketenteraan.

“Sudah tentu perkara tersebut yang akan dipertimbangkan dan kami juga masih menimbang untuk membawa satu lagi peralatan carian dasar laut.

“Semua ini akan dibincangkan sekiranya tiada perkembangan positif dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya dalam satu wawancara bersama stesen televisyen AS, CNN di sini kelmarin.

Beazley menegaskan bahawa Australia komited untuk meneruskan usaha mencari tersebut walaupun kaedah operasi pencarian mungkin diubah.

Pesawat Boeing 777-200 itu hilang dari radar pada 8 Mac lalu semasa ia dalam penerbangan ke Beijing, China selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Seramai 227 penumpang dan 12 kru menaiki pesawat itu yang didapati telah berpatah balik dan dipercayai terhempas di selatan Lautan Hindi. – Reuters

0 comments:

Post a Comment