KUALA LUMPUR – Seorang penganggur hari ini dikenakan hukuman penjara 31 tahun enam bulan dan 30 sebatan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini selepas mengaku bersalah memecah masuk 16 buah rumah di sekitar Ampang antara 2011 hingga awal tahun ini.
Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Norman Shah Jamal, 24, dari Taman Mulia Jaya, Ampang selepas dia mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.
Mahkamah menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dan dua sebatan bagi setiap tuduhan daripada pertuduhan pertama hingga ke-15 yang dihadapi Norman atas dakwaan memecah rumah dan mencuri pelbagai barang berharga di sekitar Pandan Indah dan Ampang Jaya antara 11 Mac 2011 hingga 24 Mac tahun ini.
Antara barang yang dicuri ialah barang kemas termasuk gelang dan anting-anting, wang tunai, kamera, telefon bimbit, jam tangan pelbagai jenama, komputer riba, geran tanah dan wang tunai milik 15 individu yang membabitkan kerugian RM174,200.
Mahkamah juga menjatuhkan hukuman 18 bulan penjara terhadap Norman atas dakwaan memecah masuk sebuah rumah kepunyaan Chin Kah Hoe, 35, di Kampung Tasek Permai, Ampang pada 5.45 petang, 26 Nov tahun lepas.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan secara berasingan berkuat kuasa hari ini.
Terdahulu, Norman yang tidak diwakili peguam memohon hukuman terhadapnya berjalan serentak dengan alasan dia bakal melangsungkan perkahwinannya pada Ogos.
Norman berkata desakan hidup akibat perceraian kedua ibu bapanya menyebabkan dia terdesak melakukan kesalahan itu.
“Disebabkan kesusahan hidup saya melakukan perbuatan itu (pecah rumah) kerana ibu bapa telah bercerai dan saya tiada pendapatan. Saya juga perlu menyara dua orang adik dan kalau saya tahu semua ini akan terjadi saya tidak akan buat kerja ini.
“Saya kesal dan insaf…dan jika mahkamah beri peluang, saya akan gunakan peluang itu sebaik mungkin,” katanya sambil menahan sebak.
Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene memohon hukuman berat kerana tertuduh sebelum ini pernah didakwa atas kesalahan sama sejak 2008 hingga kini dan kesusahan hidup yang dihadapinya bukan alasan kukuh untuk dia melakukan kesalahan itu.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya S.Purnima, yang membantu pihak pendakwaan turut memohon hukuman berat dengan alasan pemerhatian serta perancangan yang rapi telah dilakukan oleh tertuduh untuk melakukan kesalahan itu.
“Modus operandi yang dilakukannya adalah sama kerana rumah itu dipecah masuk ketika tiada penghuni di dalamnya dan kesemua kesalahan itu dilakukan dalam tempoh masa yang dekat seperti telah dirancang terlebih awal.
“Ini menunjukkan tertuduh adalah ‘habitual offender’ (pesalah tegar) yang langsung tidak menyesali perbuatan yang dilakukannya dan tidak menunjukkan elemen desakan hidup,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment