PUTRAJAYA – Pelan Integriti Nasional (PIN) yang menekankan lima sasaran utama dalam memperkasakan bangsa Malaysia perlu dipikul sebagai misi nasional, kata bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya, kejayaan PIN, yang dilancarkan pada 23 April 2004, juga bergantung kepada pembabitan dan komitmen semua peringkat masyarakat termasuk parti pembangkang dengan meletakkan kepentingan nasional sebagai agenda utama.
Beliau berkata, PIN walaupun meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat negara ini berhubung etika dan integriti, namun usaha berterusan perlu digandakan bagi melihat hasil yang lebih baik.
Abdullah berkata, dalam usaha menambah nilai terhadap kerja-kerja yang sedang dan akan dilakukan bagi menjayakan PIN, kritikan dan tuduhan sesetengah pihak tidak perlu dihiraukan.
“Dalam hal integriti, semua pihak perlu ada perasaan untuk bekerja bersama, keyakinan bersama dan semangat kekitaan untuk membina negara yang diharapkan,” katanya kepada pemberita sempena sambutan ulang tahun ke-10 pelaksanaan PIN dan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) serta pembentangan Laporan Tekad Integriti 2009-2013 di IIM esok.
Laporan Tekad merangkumi pembangunan yang telah berlaku di negara ini berkaitan isu-isu tadbir urus, integriti, rasuah, penyampaian perkhidmatan, institusi keluarga dan kualiti hidup dalam fasa kedua PIN.
Presiden IIM, Datuk Dr Mohd Tap Salleh akan membentangkan laporan itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low, mewakili pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia.
Lima sasaran yang dikenali sebagai TEKAD adalah mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara berkesan; meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi kerenah birokrasi; meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan; memantapkan institusi keluarga; dan meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.
Menegaskan kejayaan PIN sebagai tanggungjawab bersama, Abdullah berkata, gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa ternyata berkurangan dalam usaha membina masyarakat yang bersatu padu, adil, demokratik, liberal dan progresif serta berpegang teguh pada lima prinsip Rukun Negara.
“Seperti juga Rukun Negara, kita tidak boleh menekankan rukun tertentu, lima-lima rukun adalah sama penting dan kita tidak boleh tinggalkan mana-mana satu rukun.
“Kita sudah menetapkan lima sasaran, jadi kita tidak boleh menumpukan kepada kejayaan satu-satu sasaran. Kesemua lima sasaran itu perlu dijayakan dan ia bukan cabaran yang mudah,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment