Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, August 16, 2014

No Comment

KAHERAH – Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) bertolak ke Gaza melalui sempadan Rafah pada 9 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) Sabtu, selepas waktu asal ditunda.

Misi yang turut disertai Mercy Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) seramai 83 peserta itu adalah bagi menyampaikan bekalan makanan dan perubatan kepada mangsa serangan Israel di Gaza.

Presiden KP1M Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengetuai misi itu  berkata keputusan menunda waktu asal diambil selepas mengambil kira faktor keselamatan dan logistik.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Kebajikan Umno berkata pihaknya sebelum ini perlu menungggu surat kelulusan bertulis daripada pihak kerajaan Mesir terlebih dahulu sebelum berlepas.

“Sebelum ini kelulusan hanya dibuat secara lisan. Jadi kita dinasihatkan untuk mendapatkan jaminan bertulis terlebih dahulu,” katanya semasa sesi taklimat kepada peserta di sini, Jumaat malam.

Misi bantuan kemanusiaan itu sebelum ini bercadang bertolak pukul 12.30 pagi waktu tempatan, Sabtu dan menjangkakan tiba di sempadan Rafah pukul 6 pagi waktu tempatan.

Dari segi logistik, Abdul Azeez berkata sehingga petang Jumaat, bekalan makanan dan perubatan kira-kira 10 tan metrik untuk dibawa ke Gaza masih terkandas di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah .

“Tapi, kita dah dapat semua kelulusan untuk keluarkan barang-barang kita hari ini, tetapi Kastam pula dah tutup. Jadi kita dah buat arrangement, dan expect dapat keluarkan semua untuk dimuatkan dalam kontena, awal pagi Sabtu sebelum kita bertolak,” katanya.

Justeru, katanya selepas perbincangan diadakan, keputusan dibuat untuk misi bergerak hanya selepas bekalan makanan dan perubatan berkenaan dikeluarkan serta surat kelulusan bertulis diterima, awal pagi Sabtu.

Abdul Azeez berkata hasil perbincangan turut mencadangkan tempoh pulang ke Malaysia dilanjutkan daripada 19 Ogos sebelum ini ke 22 Ogos, supaya lebih banyak masa dapat diluang di wilayah bergolak Gaza dan objektif misi dapat dicapai.

Misi bantuan kemanusiaan itu merancang untuk mengagihkan sebanyak 5,000 kotak bekalan makanan untuk 25,000 warga Palestin serta menyampaikan bantuan perubatan kepada mangsa serangan Israel di Gaza.

Hampir 2,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan tanpa henti Israel di Semenanjung Gaza sejak 8 Julai lalu.

Rabu malam, agensi berita antarabangsa melaporkan, pihak Israel dan Palestin setuju melanjutkan tempoh gencatan senjata selama lima hari. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment