Murid Istimewa Cipta Rekod Tersendiri
KOTA BHARU - Biarpun dalam kategori khas, namun 57 murid Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Mas membuktikan mereka mempunyai kelas tersendiri apabila berjaya menghasilkan Jalur Gemilang sepanjang 57 meter sempena kemerdekaan negara ke-57 tahun ini.
Penolong Kanan Pendidikan Khas sekolah itu, Zaidee Jusoh berkata, kerja menyiapkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 pada 31 Ogos ini dilakukan secara gotong-royong oleh lima kumpulan murid Pendidikan Khas yang dimulakan sejak 24 Ogos lalu.
Menurutnya, inisiatif mencantum dan mewarnakan Jalur Gemilang oleh murid istimewa terdiri daripada pelbagai kategori seperti sindrom down, celebral palsi, lembam, hiperaktif, dan autism itu sebagai program integrasi pendidikan khas.
“Aktiviti empat hari yang berakhir semalam, sangat bermakna kerana ia memberi kefahaman yang lebih mendalam kepada murid berkeperluan khas mengenai simbol dan warna Jalur Gemilang.
“Malah ia dapat meningkatkan kemahiran pergerakan tangan dan korden mata serta tangan murid berkeperluan khas bagi menerapkan terapi seni visual bagi golongan itu, sekali gus meningkatkan daya kreativiti mereka,” katanya kepada media, semalam.
Terdahulu beliau menaikkan Jalur Gemilang itu bersama murid terlibat sebelum dirasmikan Ketua Unit Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, Mohd Azhar Zahari di sekolah berkenaan, semalam.
Zaidee berkata, selain murid istimewa, misi menyiapkan Jalur Gemilang yang julung kali diadakan di sekolah berkenaan turut dibantu 19 guru termasuk guru pelatih dan lima pembantu pengurusan murid, membolehkan ia siap tepat pada masanya.
Menurutnya, tujuan utama penghasilan Jalur Gemilang sepanjang 57 meter itu bagi memupuk semangat mencintai bendera Malaysia dalam kalangan murid berkeperluan khas dan warga sekolah.
Sementara itu, Mohd Azhar mengakui usaha dilakukan murid Pendidikan Khas sesuatu yang luar biasa bagi murid berkenaan dan mampu membangkitkan semangat mereka untuk terus berada sebaris dengan murid lain.
“Apabila mereka diberi peluang melakukan apa yang dilakukan murid biasa, mereka akan lebih bersemangat untuk menonjolkan kreativiti dan menyerlahkan bakat dimiliki.
"Justeru, kita galakkan lebih banyak sekolah mengikut contoh dan jejak langkah yang dilakukan oleh SK Tanjung Mas,” katanya. - Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment