Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, October 1, 2014

No Comment

PETALING JAYA – Penyanyi Aliff Aziz menafikan dia telah mencuri dua buah telefon bimbit namun mengakui ditahan pihak berkuasa Singapura bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Aliff, 22, memberitahu, ketika kejadian dia berada di tempat yang salah dan menjadi polisi biasa pihak berkuasa di Singapura untuk menahan semua suspek yang berada di lokasi serbuan bagi menjalankan siasatan.

“Saya mengaku ditahan oleh pihak berkuasa ekoran kes kecurian telefon bimbit seperti mana didakwa tetapi saya tidak melakukan kesalahan itu.

“Saya berada pada waktu dan tempat yang salah ketika kejadian itu dan saya telah memberikan kerjasama kepada polis untuk mereka menjalankan siasatan sepanjang kes itu,” katanya ketika menghubungi mStar Online di sini.

Akhbar Berita Harian Singapura pada Selasa melaporkan Aliff dikenakan denda sebanyak $2,000 dolar Singapura (RM5,138) pada Jumaat lalu atas kesalahan mencuri dua buah telefon bimbit dan boleh dipenjarakan selama 20 hari sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Menurut laporan itu lagi, Aliff melakukan kesalahan itu pada Mei lalu apabila dia dan seorang lagi rakannya dikatakan mencuri telefon berjenama HTC One dan Samsung Note 1 milik dua individu berbeza.

Aliff dilaporkan telah didakwa pada 16 Ogos lalu atas kesalahan tersebut.

Dalam pada itu, Aliff berkata, akibat kejadian itu pasport perjalanan antarabangsanya dirampas pihak berkuasa Singapura sejak tiga bulan lalu namun ia akan dikembalikan dalam masa seminggu lagi.

“Akibat kes tersebut saya terpaksa dipanggil ke balai polis untuk membantu siasatan dan memberi keterangan di mahkamah namun Alhamdulillah semuanya selesai dengan baik.

“Orang yang bertanggungjawab dalam kes berkenaan telah pun menerima akibatnya dan pasport saya bakal dipulangkan dalam masa seminggu lagi,” katanya.

Sementara itu, Aliff berkata, kejadian itu juga adalah antara sebab dia menghilangkan diri selama beberapa bulan kerana dia tidak dibenarkan meninggalkan negaranya selagi kes berkenaan tidak selesai.

Jelas Aliff, dalam tempoh itu juga dia banyak bermuhasabah diri tentang pelbagai perkara termasuk pergaulannya dengan rakan-rakan yang memberikan impak negatif kepadanya.

“Bukan saya ingin salahkan kawan-kawan dengan apa yang terjadi tetapi sudah tiba masanya saya menjauhi mereka yang mampu memberi impak negatif kepada saya.

“Kejadian tersebut banyak mengajar saya supaya lebih berhati-hati pada masa hadapan,” jelasnya.

Aliff menjelaskan dia bakal kembali ke Malaysia selepas sambutan Hari Raya Aidiladha untuk menyiapkan proses rakaman album terbaharunya yang kini dalam proses akhir.

“Sudah tiba masanya saya kembali fokuskan kepada kerjaya nyanyian tambahan pula album terbaharu akan keluar tidak lama lagi.

“Saya kini sudah bebas dan akan kembali ke Kuala Lumpur dalam masa dua minggu lagi,” katanya. - mStar Online

0 comments:

Post a Comment