WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) hari ini menarik balik pengharaman selama 40 tahun penjualan senjata kepada bekas musuhnya, Vietnam bagi membantu meningkatkan pertahanan negara itu menghadapi isu perairan di Laut China Selatan.
Keputusan itu disifatkan sebagai satu sejarah dalam hubungan dua hala serta bakal menimbulkan kemarahan kepada China yang turut terbabit dalam konflik di perairan.
Pengharaman yang dikuatkuasakan apabila Perang Vietnam tamat pada 1975, bagaimanapun hanya dilaksanakan untuk peralatan maritim saja, demikian menurut Jabatan Negara AS.
Penarikan balik sekatan itu dibuat berikutan perhubungan semakin erat antara Hanoi-Washington serta wujud peningkatan oleh pentadbiran Hanoi dalam melaksanakan hak asasi manusia.
“Ia bukannya satu keputusan untuk memindahkan peralatan tentera ke Vietnam dalam jumlah yang besar, tapi hanya keperluan spesifik yang diperlukan wilayah itu,” kata seorang pegawai Jabatan Negara AS.
Ini kerana menurut beliau, Vietnam mempunyai kekurangan dari segi kapasiti dalam menangani tuntutan membabitkan perairannya manakala Amerika pula perlu melaksanakan tanggungjawabnya dalam menjaga kepentingan keselamatan.
Setiausaha Negara AS, John Kerry sudah memberitahu rakan sejawatnya dari Vietnam, Pham Binh Min dalam satu pertemuan semalam bahawa tindakan Washington itu untuk menambah baik dasar semasa bagi membolehkan penghantaran peralatan pertahanan untuk tujuan keselamatan maritim sahaja,” kata serang pegawai kanan Jabatan Negara AS. – AFP
0 comments:
Post a Comment