Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, October 19, 2014

No Comment


KUALA TERENGGANU – Akibat diserang angin ahmar atau strok, seorang penjaja, Rohani Mohd Noor, 49, secara spontan menukar dialek apabila bercakap ketika melayani tetamu yang datang ke rumahnya di Kampung Losong Nyior Kembar, di sini.

Menurut Rohani yang begitu petah dalam pelbagai dialek termasuk Indonesia, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan sebagainya berkata, dia sendiri terkejut dengan perubahan spontan itu dan tindakannya di luar kawalan.

“Ketika saya diserang angin ahmar pada tahun lepas, ramai jiran dan sanak saudara datang ke rumah untuk melihat keadaan saya dan mereka terkejut apabila saya tidak bercakap dialek Terengganu.

“Pada mulanya mereka (tetamu) menyangkakan saya hendak bergurau, tetapi suami, Wan Abu Bakar Wan Ngah memberitahu mereka keadaan sebenar yang saya hadapi selepas diserang angin ahmar,” ceritanya kepada Sinar Harian ketika mengunjungi kediaman bekas penjaja pasar malam itu.

Kadang-kadang rumahnya menjadi riuh rendah kerana gelak tawa rakan-rakan yang datang apabila mereka mendengar Rohani bertutur dalam pelbagai jenis dialek.

Reaksi keluarga terdekat termasuk anak-anak juga agak janggal apabila dia tidak reti bertutur dialek Terengganu, sedangkan sebelum ini mereka dibesarkan dengan ‘dialek pekat’ Terengganu.

Rohani yang diserang angin ahmar ketika menjual di pasar malam di sini (Kuala Terengganu) sudah mencuba pelbagai jenis rawatan termasuk moden dan tradisional bagi mengubati pertuturannya itu, namun sehingga kini masih sama.

“Banyak tempat dah saya pergi berubat, tapi masih sama, macam ini juga (cakap dialek lain) tidak cakap Terengganu lagi dah,” katanya.

Apa yang lebih ketara, Rohani tidak dapat menyebut perkataan ‘tak mboh’ (tak nak) dengan sempurna walaupun telah berkali-kali mencuba.

Sementara itu, menurut Abu Bakar, dia berharap mendapat bantuan daripada kerajaan kerana sekarang dia juga mengalami sakit pada bahagian kaki yang mula membengkak, tambahan pula, dia masih menanggung anak bongsu yang bersekolah di
tingkatan lima.

“Pakcik harapkan duit anak-anak bagi, hendak menjual memang tidak larat sebab dulu makcik yang masak, pakcik jual sahaja, tetapi sekarang duduk di rumah jaga makcik.

“Seminggu sekali kena bawa pergi urut, tak boleh selalu sangat sebab tak mampu, sekali urut kena bayar lebih daripada RM50. Kadang-kadang kalau tak cukup duit pakcik yang urut sendiri di rumah,” jelasnya.

Difahamkan, perubahan yang berlaku berhubung dialek Rohani disebabkan fungsi otaknya yang terkesan akibat diserang angin ahmar. - Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment