SARAJEVO – Rakyat Bosnia keluar mengundi untuk memilih pemimpin baharu dan sebuah Parlimen semalam ketika negara itu dihimpit gejala rasuah dan ketegangan etnik.
Selepas hampir 20 tahun perang berlaku antara penduduk Islam, Croat dan Serb, Bosnia kekal antara negara termiskin di Eropah dan berpecah mengikut garisan etnik.
Perang antara tahun 1992 hingga 1995 itu menyaksikan seramai 100,000 orang terkorban dan menyebabkan bekas negara Republik Yugoslavia itu berpecah menjadi dua entiti separa autonomi iaitu Republik Serb Srpska dan Persekutuan Islam-Croat.
Dua entiti berasingan itu dihubungkan oleh pemerintahan pusat yang lemah.
Kira-kira 3.3 juta pengundi layak mengundi kali ini untuk memilih tiga calon masing-masing seorang Croat, Islam dan Serb bagi mengisi kerusi Presiden di samping memilih anggota Parlimen pusat.
Mereka juga akan memilih wakil rakyat untuk dua entiti tersebut.
“Saya tidak akan memilih pemimpin sedia ada. Mereka gagal membawa sebarang kemajuan,” kata seorang perpustakawan wanita berusia dalam lingkungan 50-an, Nadja Kadric di sini.
Terdahulu, Presiden Serb-Bosnia, Milorad Dodik yang bertanding untuk penggal ketiga mengulangi ancamannya untuk keluar daripada persekutuan Bosnia.
“Matlamat saya adalah supaya kita semakin kurang menjadi sebuah entiti dan berubah ke arah sebuah negara (merdeka),” katanya di sebuah perhimpunan politik.
Sebagai tindak balas, Presiden etnik Islam Bosnia, Bakir Izetbegovic yang bertanding untuk penggal kedua merayu umat Islam di negara itu supaya bersatu padu untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Dalam pada itu, ekonomi Bosnia kini mundur dengan negara itu mencatat kadar pengangguran sebanyak 44 peratus manakala purata pendapatan bulanan rakyatnya pula sekitar 415 euro (RM1,351).
Bosnia juga dihimpit gejala rasuah yang menyebabkan ia mengalami kerugian sebanyak 750 juta euro (RM2.9 bilion) setahun.
Pada pilihan raya semalam sebanyak 5,400 pusat mengundi telah dibuka. Semua pusat membuang undi itu ditutup pada pukul 7 malam waktu tempatan manakala keputusan awal pengiraan undi dijangka diketahui sekitar lima jam kemudian. – AFP
0 comments:
Post a Comment