Pelawak Zizan Razak terpaksa menelan air liur melihat juadah sate yang dibuat neneknya pada setiap tahun sempena Hari Raya kerana tidak dapat menikmatinya akibat alahan.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 28, berkata, dia akan mengalami alahan pada seluruh badan manakala matanya akan bengkak setiap kali menikmati makanan itu bersama kuahnya.
“Sate adalah antara makanan kegemaran saya yang dimasak nenek setiap tahun. Tapi sekarang ini saya dah tak boleh makan kerana kuah kacangnya membuatkan saya akan mengalami alahan seluruh badan.
“Ia mampu mengganggu tekak dan mata pula akan bengkak. Pelik pula rasanya, bila dah jadi artis, tiba-tiba tak boleh nak makan kuah kacang, ngada-ngada betul saya ini,” selorohnya.
Tambah Zizan, walaupun dia boleh menikmati sate tanpa kuahnya bagi menghilangkan kempunan, namun ia tidak akan berasa sedap dan seperti kekurangan sesuatu.
Bercerita mengenai keseronokannya beraya, Zizan berkongsi kisah kanak-kanaknya yang pernah dimarahi ibu gara-gara bermain mercun sehingga menyebabkan langsir rumah terbakar.
“Mengenangkan kembali kejadian itu, ia memang lucu. Pada malam raya, biasalah semua sibuk dengan tugasan masing-masing termasuklah ibu saya yang ketika itu sedang memasang langsir.
“Saya pula seronok bermain mercun. Entah macam mana mercun itu tersalah tembak dan ia terkena langsir ibu yang baru dipasang sehingga terbakar.
“Esoknya, rumah kami kekurangan satu langsir. Nampak pelik saja setiap kali tetamu bertandang,” katanya yang akan membuat majlis rumah terbuka di rumahnya di Kuala Terengganu pada Hari Raya ketiga. -2dayblogger
0 comments:
Post a Comment