DAR ES SALAAM – TANZANIA) – Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini malam tadi untuk menghadiri Dialog Perkongsian Bestari Global.
Pesawat yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Julius Nyerere di sini pada 9.20 malam (waktu Tanzania: 28 Jun) (waktu Malaysia: 29 Jun, 2.20 pagi).
Najib diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Ketibaan mereka disambut Menteri Komunikasi, Sains dan Teknologi Tanzania Prof Makame M. Mbarawa di lapangan terbang yang mengambil sempena nama pengasas negara ini.
Najib akan menyertai 14 ketua-ketua kerajaan/negara dari negara-negara Afrika untuk dialog dua hari bermula esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Julius Nyerere di sini.
Perdana Menteri dijadual berlepas ke London pada Ahad malam di mana beliau akan melakukan lawatan kerja di sana. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment