California – Seorang wanita dipenjarakan seumur hidup selepas didapati bersalah memotong alat sulit suaminya dengan pisau sepanjang 10 inci, sebelum membuang organ berkenaan ke dalam tong sampah.
Catherine Kieu, 50, melakukan kesalahan berkenaan pada 11 Julai 2011 kerana cemburu, namun dia berpeluang mendapat parol selepas tujuh tahun di penjara.
Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada bulan April lalu namun hukuman hanya diputuskan semalam.
Ketika hukuman dijatuhkan, mangsa yang hanya dirujuk sebagai Glen turut hadir.
“Saya harap ini kali terakhir saya melihat muka dia. Saya rasa lega dengan keputusan ini namun ia juga sesuatu yang amat menyedihkan,’’ kata Glen.
Ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan kes berkenaan, Glen, 60, berkata, dia telah diberikan ubat tidur sebelum diikat oleh isterinya.
“Apabila saya sedar, dia memberitahu saya, `padan muka kau’ sebanyak tiga kali sebelum alat sulit saya dipotong olehnya.
“Dia kemudian berjalan ke dapur dan memasukkan organ berkenaan ke dalam tong sampah,’’ katanya.
Organ berkenaan tidak dapat disambung semula kerana Kieu telah mencincangnya.
Mangsa turut memaklumkan dia terpaksa menjalani pembedahan akibat kejadian itu, namun bukan pembedahan untuk penyambungan semula sebaliknya bagi membolehkan dia membuang air kecil.
Kieu dikatakan berbuat demikian selepas dua bulan suaminya mengemukakan tuntutan cerai dan dilaporkan bertemu semula dengan bekas kekasihnya.
Bagaimanapun peguam bela Kieu berhujah anak guamnya itu yang berasal dari Vietnam mengalami tekanan mental selepas dicabul ketika kanak-kanak dan trauma dengan perang di Vietnam.
Selain itu, perbuatan suaminya yang melakukan seks dalam keadaan yang tidak direlakan, juga menyebabkan tekanan berkenaan meningkat.
0 comments:
Post a Comment