KUALA LUMPUR – Malaysian Airline System Bhd. (MAS) mengemaskini peraturan berhubung membawa bagasi ke dalam kabin penumpang bagi memberi lebih keselesaan dan kemudahan kepada para penumpang.
Bermula 1 Julai ini, penumpang kelas ekonomi syarikat penerbangan itu dibenarkan membawa satu bagasi yang mempunyai berat maksimum 7 kilogram ke dalam kabin penumpang berbanding cuma 5 kg yang dibenarkan sebelum ini.
Manakala penumpang kelas pertama dan perniagaan pula dibenarkan membawa masuk dua bagasi kabin dengan berat maksimum 7 kg setiap satu.
Pengarah Perkhidmatan Pelanggan MAS, Datuk Mohd. Salleh Ahmad Tabrani berkata, setiap bagasi itu bagaimanapun ditetapkan ketinggian maksimum 56 sentimeter (sm) panjang 36 sm dan lebar 23 sm.
“Peraturan baharu membawa bagasi ke dalam kabin penumpang ini dikenakan untuk semua penerbangan domestik dan antarabangsa.
“Garis panduan ini akan dilaksanakan sepenuhnya di seluruh rangkaian penerbangan global syarikat berkuatkuasa 1 julai 2013,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Salleh turut memaklumkan penumpang MAS juga akan dibenarkan membawa masuk notebook, komputer riba atau beg bimbit atau beg binokular ke dalam kabin penumpang,
Penumpang juga dibenarkan membawa satu beg tangan kecil dan tongkat dan mereka yang membawa bayi (bawah umur 24 bulan) boleh membawa satu beg mengandungi makanan bayi dan lampin seberat 5 kg dan kereta sorong bayi lipat penuh,
“Semua bagasi kabin bagaimanapun mesti mematuhi undang-undang dan langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan. Kadar tetap MAS akan dikenakan untuk bagasi kabin melebihi ketetapan ini,” katanya. – mynewshub.my
0 comments:
Post a Comment