Sebagai ibu yang melahirkan Nurul Adirah Abdullah atau Dirang, keputusan mahkamah menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap pembunuh anaknya semalam sudah pasti meninggalkan impak emosi paling hebat buat Roselyn Alan, 26.
Roselyn dilihat tidak dapat menahan hiba sebaik sahaja keputusan diumumkan hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman. Anggota keluarganya seramai 10 orang yang turut menanti keputusan tersebut ikut sama mengalirkan air mata.
Menurut Roselyn ketika ditemubual media di luar mahkamah, dia berasa lega apabila pembunuh anaknya telah diberikan hukuman setimpal. Apatah lagi, hampir setiap hari dia berdoa agar keadilan dapat diberikan kepada Dirang.
Sungguh pun demikian, dia mengakui peristiwa ngeri tersebut masih menghantui hidupnya sampai sekarang. Malah dia tidak dapat tidur lena kerana sering terbayang apa yang telah ditempuh anak kesayangannya itu.
Kadangkala, ingatan keterlaluan terhadap Dirang membuatkan ibu ini bermimpi si anak muncul lalu memeluk dan mencium dirinya.
Bagi datuk Dirang, Alan Alip, 50, pula dia percayakan kuasa Allah Taala yang pasti akan memberikan hukuman terhadap pembunuh cucunya itu.
Semalam Mahkamah Tinggi memutuskan Muidin Maidin, 27, bersalah kerana membunuh Dirang dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap pekerja kontrak itu.
“Bukti ujian asid deoksiribonukleik (DNA) digabungkan dengan bukti cebisan kain pelikat tertuduh yang dijumpai pada mangsa, sampel tanah yang sama pada motosikal tertuduh dengan tanah tempat kejadian dan keterangan saksi menunjukkan tertuduh melakukan kesalahan tersebut.
“Profil campuran DNA yang dijumpai dalam kemaluan dan dubur mangsa hanya melibatkan mangsa dan tertuduh. Kebarangkalian DNA itu disumbangkan oleh tertuduh dan si mati adalah 700 trilion,’’ kata Datuk Abdul Halim yang menyifatkan perilaku mangsa terlalu kejam dan tidak berperi kemanusiaan.
Dirang hilang diculik pembunuhnya pada 1 Mac tahun lalu, ketika membeli mi segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam.
Kehilangannya terjawab selepas laporan Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan DNA ke atas mayat rentung yang dijumpai di sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai pada 8 Mac tahun lalu adalah milik Dirang.
Sementara itu, Muidin yang kelihatan gusar sepanjang perbicaraan sempat bertindak di luar dugaan apabila menendang jurugambar yang mengambil gambarnya Selepas perbicaraan.
0 comments:
Post a Comment