NEW DELHI – AirAsia India kini menyasarkan untuk memulakan operasinya pada akhir Mei dengan visi yang jelas untuk mengubah landskap penebangan negara ini.
Baru-baru ini syarikat itu menerima penyerahan pesawat pertamanya, Airbus A320.
Dalam satu wawancara dengan Times of India, Ketua Pegawai Eksekutif Mittu Chandilya berkata beliau sama sekali tidak kecewa dengan beberapa kelewatan yang berlaku walaupun pada mulanya operasi disasarkan tahun lepas.
“Sebenarnya ramai orang tidak menjangka perkembangannya hingga ke tahap ini. Pada umumnya saya merasakan kerajaan mahu kami beroperasi di sini, kecuali dari segi persaingan,” katanya kepada harian berbahasa Inggeris itu apabila ditanya sama ada beliau kecewa dengan kelewatan yang berlaku.
“Tidak. Memanglah. Pesaing mana yang mahukan satu lagi pesaing, dan saya faham sikap mereka. Saya juga nampak sikap ‘garang’ mereka terhadap kami. Ini menunjukkan kami tidak main-main. Bila mereka menunjukkan sikap ‘garang’ sedemikian, kami juga tidak akan ‘menghampakan’ mereka.
“Malah, kelewatan mendapatkan kelulusan-kelulusan tertentu telah membantu AirAsia India mempelajari sesuatu daripada pesaing-pesaingnya,” tegas beliau.
Ditanya tentang harga rendah yang diumumkan oleh SpiceJet, Indigo dan Jet Airways baru-baru ini, beliau berkata segala yang berlaku sekarang bukanlah benar-benar “tambang murah”.
“Ini cuma gimik; harga spontan yang ditawarkan untuk memacu permintaan. Untuk berlaku adil kepada pesaing kami, mereka telah melakukannya pada masa yang sesuai untuk diri sendiri. Mereka memerlukan wang.
“Cabaran bagi mana-mana syarikat penerbangan ialah untuk memastikan cara mengekalkan tambang pada paras yang sentiasa rendah.
Itulah sebenarnya syarikat penerbangan kos rendah/tambang murah. Itulah yang ingin kami lakukan,” tegas Mittu.
Beliau mengulangi bahawa tambang AirAsia India sekurang-sekurangnya 30 peratus lebih murah, bergantung kepada laluan.
Beliau juga berkata syarikat itu akan mengadakan penerbangan ke setiap bandar besar, kecuali Mumbai dan New Delhi.
“Ini sukar kerana Mumbai dan Delhi memang menarik, tetapi kosnya tidak berdaya saing manakala persaingan jauh lebih sengit.
“Di samping itu, semua orang ingin ke sana. Kenapa harus kami pergi ke pasaran yang sememangnya sudah sesak, yang akan melambatkan masa pusing balik pesawat kami? Kami akan memenuhi 12 hingga 16 lapangan terbang di selatan terlebih dahulu,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment