KUALA LUMPUR – Semua pihak terutama pemimpin politik di negara ini digesa mengetepikan kepentingan politik masing-masing dan bersatu hati memberi sokongan penuh kepada kerajaan dalam mengendalikan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.
Setiausaha Agung Parti Gerakan, Liang Teck Meng berkata tragedi kehilangan pesawat itu bukan sesuatu yang boleh dikaitkan dengan politik sebaliknya lebih kepada aspek kemanusiaan yang memerlukan kerjasama semua pihak.
“Tragedi kehilangan MH370 ini sebenarnya tidak mengira kaum, agama dan bangsa. Bukan sahaja penumpang dari China yang telibat malah dari negara lain juga ada,” katanya di sini hari ini.
Teck Meng yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, semua pihak juga harus bersabar menanti jawapan mengenai insiden itu yang kini bukan hanya menjadi tanda tanya rakyat negara ini tetapi seluruh dunia.
Beliau turut berkata kenyataan negatif daripada warga China di Beijing terhadap Malaysia yang seringkali dimuat naik dalam media sosial sebenarnya bukan mewakili pendirian kerajaan China.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu, hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Berdasarkan kepada analisis menggunakan data satelit yang dijalankan oleh syarikat pengendali satelit Inmarsat dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengumumkan bahawa penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment