KUALA TERENGGANU – Ibu tunggal di Terengganu disaran merebut peluang untuk mendapatkan pinjaman yang disediakan kerajaan negeri bagi memajukan perniagaan mereka.
Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata daripada RM20 juta yang diperuntukkan melalui YPK sejak tahun lepas, hanya RM1 juta yang dikeluarkan kepada kira-kira 1,000 ibu tunggal.
“Pada peingkat awal kita hanya bagi pinjaman maksimum berjumlah RM10,000. Namun kini kita telah naikkan pinjaman sehingga RM20,000. Sayang kalau ibu tunggal tidak rebut peluang kerana pinjaman yang disediakan tidak dikenakan sebarang faedah kerana ia semata-mata untuk membantu ibu tunggal berdikari dan menjana ekonomi mereka ke tahap lebih baik,” katanya.
Beliau ditemui pada Program Cakna Keluarga dan Pelancaran Skim Perlindungan Insuran Tafakul percuma YPK bahagian Kuala Nerus yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga Hijau dan Air Negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman di sini.
Terdapat kira-kira 25,100 ibu tunggal di Terengganu manakala di Kuala Nerus terdapat seramai 2,221 ibu tunggal yang berdaftar dengan persatuan itu.
Mohd Shafaruddin berkata bagi membantu golongan itu, YPK akan menyewa sebuah bangunan di Hulu Terengganu untuk menempatkan 22 orang ibu tunggal yang menceburi bidang perniagaan.
Beliau berkata YPK juga akan mendirikan sebuah bangunan di Cendering untuk dijadikan ibu pejabat Persatuan Ibu Tunggal Negeri Terengganu yang dianggarkan bernilai RM3 juta dan dijangka siap tahun depan.
Sementara itu Ahmad Razif berkata kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan untuk membantu kebajikan golongan itu ke tahap yang lebih baik termasuk insurans percuma jika mereka meninggal dunia sebanyak RM1,500.
Jika meninggal akibat kemalangan, waris akan diberi RM15,000 dan jika mereka dimasukkan ke hospital untuk mendapat rawatan, mereka akan diberi RM50 sehari dalam tempoh 30 hari. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment