Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, March 6, 2014

No Comment

JERLUN – Program Interaktif Tuisyen Rakyat 1Malaysia (iTR1M) akan diperluas untuk semua calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 di seluruh Kedah, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mendapati kefahaman pelajar bagi mata pelajaran kritikal seperti Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains meningkat setelah menggunakan aplikasi atas talian itu.

Beliau berkata pada 2013, sebanyak 19 buah sekolah rendah dan 16 buah sekolah menengah terpilih untuk melaksanakan program itu sebagai projek rintis.

“Hasil projek rintis ini, kefahaman pelajar kepada mata pelajaran yang kritikal telah meningkat. Saya yakin program ini akan menjadi platform yang bakal membantu mencapai Aspirasi Pendidikan Kedah TOP5 2015.

“Saya percaya aspirasi ini akan tercapai sekiranya pelajar dapat mengatasi mata pelajaran kritikal terutama dari Sekolah Berprestasi Rendah,” katanya pada Majlis Pelancaran Program iTR1M Negeri Kedah 2014 di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hitam di sini hari ini.

Mukhriz berkata cita-cita kerajaan negeri adalah untuk meletakkan Kedah di kalangan lima negeri paling cemerlang dalam pendidikan dengan mencatat keputusan terbaik dalam setiap peperiksaan awam.

“Raih peluang yang disediakan ini dengan sebaik-baiknya demi masa depan yang lebih gemilang dan cemerlang. Jangan sia-siakan peluang yang ada,” katanya.

Beliau berkata iTR1M adalah bimbingan di luar waktu sekolah secara percuma kepada anak-anak golongan berpendapatan rendah pelbagai kaum dalam membantu mereka mengoptimumkan penggunaan ‘Netbook 1Malaysia’ dan kemudahan ICT yang disediakan kerajaan.

Konsep pembelajarannya adalah berbentuk interaktif atas talian, secara belajar kendiri di luar waktu sekolah yang boleh dipantau ibu bapa serta guru, katanya.

“Saya amat berharap ibu bapa memberi dorongan dan rangsangan kepada anak-anak mereka supaya mengejar kecemerlangan akademik. Pantau anak-anak kita yang terlibat dalam program ini supaya mereka dapat mencapai lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu Mukhriz turut mencadangkan supaya pihak sekolah memperbanyakkan aktiviti yang menumpukan kepada penggunaan Bahasa Inggeris bagi meningkatkan tahap penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment