Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, March 6, 2014

No Comment

MENTERI Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mengutuk (gambar) tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebar khabar angin menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), blog dan Facebook, kononnya kebakaran hutan di Gebeng semalam menyebabkan kilang Lynas terbakar.

Beliau berkata, kebakaran hutan yang terletak kira-kira dua kilometer dari kilang pemprosesan nadir bumi itu berpunca daripada cuaca panas yang melanda seluruh negara dan tidak langsung menjejaskan operasi kilang itu.

“Kebakaran itu kebakaran hutan biasa sahaja akibat cuaca panas dan kering yang berlaku bukan sahaja di negeri ini tapi di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Kecemerlangan Kokurikulum peringkat negeri anjuran Yayasan Pahang di Kuantan hari ini.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang menyatakan bahawa kebakaran itu hanya membabitkan kawasan hutan berdekatan sahaja dan tidak merebak ke kawasan kilang di Gebeng termasuk Lynas.

Timbalan Pengarahnya Nazili Mahmood berkata kebakaran hutan seluas 16 hingga 20 hektar itu berjaya dikawal pada pukul 9 malam.

Dalam perkembangan lain, Adnan meminta Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat agar lebih proaktif dan cekap dalam menyediakan senarai nama mangsa banjir di Pahang.

Ini bagi mengelak mangsa daripada tercicir mendapat bantuan yang disalurkan kerajaan negeri dan persekutuan.
“Saya harap mereka lebih proaktif, pergi ke kampung-kampung, daftarkan nama mereka (penduduk) setiap orang mengikut kampung yang terlibat (banjir) bagi memastikan semua mendapat bantuan,” katanya.

Majlis hari ini menyaksikan sebanyak 742 pelajar dan 153 jurulatih yang telah mengharumkan nama negeri dalam pelbagai aktiviti kokurikulum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa menerima penghargaan dan hadiah yang disumbangkan oleh Yayasan Pahang. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment