SEPANG – Insiden kehilangan pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) awal hari ini tidak menjejaskan operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata semua perkhidmatan di lapangan terbang itu berjalan seperti biasa dan tiada sebarang pembatalan jadual penerbangan.
Bagaimanapun beliau berkata pengurusan MAS telah menyediakan ruang di Anjung Tinjau di aras lima, KLIA untuk mengumpulkan semua anggota keluarga penumpang yang terlibat bagi memaklumkan perkembangan terkini insiden itu.
Setakat pukul 3 petang ini 80 peratus anggota keluarga penumpang telah dimaklumkan oleh MAS berhubung perkembangan terkini kehilangan pesawat itu yang telah menimbulkan pelbagai spekulasi.
“Semua operasi berjalan lancar seperti biasa. Di aras lima, KLIA (Anjung Tinjau) kita menyediakan sebuah pasukan untuk mengumpulkan dan memberikan maklumat terkini kepada ahli keluarga penumpang,” katanya pada sidang media di sini hari ini yang turut dihadiri pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Tinjauan Bernama di KLIA mendapati aktiviti ketibaan dan pelepasan penumpang ke destinasi masing-masing berjalan seperti sedia kala.
Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang, terdiri 227 penumpang termasuk
dua bayi dan 12 kru pesawat dilaporkan hilang di antara ruang angkasa Malaysia
dan Vietnam di perairan Laut China Selatan dengan operasi mencari dan menyelamat
masih berterusan.
Pesawat itu terakhir dikesan pada pukul 1.30 pagi tadi di garisan bujur 065515 utara dan 1033443 timur di perairan Laut China Selatan.
Terdahulu Hishammuddin berkata pasukan Tentera Udara dan Tentera Laut Malaysia telah digerakkan ke kawasan perairan tersebut yang turut disertai agensi berkuasa dari China, Filipina, Vietnam dan Indonesia.
Orang ramai boleh menghubungi talian 03-78841234 manakala media boleh menyalurkan pertanyaan mereka melalui talian 03-8775698 atau 03-87871276 atau melayari laman web MAS di www.malaysiaairlines.com. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment