JERANTUT – Sebanyak 247 penduduk Orang Asli Kampung Tekal, Hulu Tembeling di sini meminta pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi penerangan kali kedua kepada mereka mengenai pembinaan projek empangan hidroelektrik Tekal yang bakal dilaksanakan pada 2016.
Tok Batin Orang Asli Kampung Tekal, Tan Jangkua berkata penerangan yang diadakan TNB pada 19 Mac lepas didakwa kurang jelas menyebabkan mereka membantah projek berkenaan.
Katanya TNB perlu memberikan penerangan lebih mendalam mengenai kesan dan faedah projek itu kepada penduduk serta memberi jaminan mengenai penempatan penduduk yang ada sekarang.
“Orang Asli bimbang kampung dan kawasan hutan tempat mereka mencari hasil hutan ditenggelami air dan empangan pecah, itulah yang menyebabkan Orang Asli membantah projek itu,” katanya kepada Bernama di sini semalam.
Tan Jangkua turut mencadangkan TNB supaya membawa penduduk kampung meninjau projek empangan Tasik Kenyir, Terengganu supaya dapat membuka mata dan minda Orang Asli mengenai projek hidroelektrik itu.
Projek empangan hidroelektrik Tekal bernilai RM1.8 bilion akan bermula pada 2016 dan dijangka siap pada 2020 dan membabitkan kawasan seluas 8,210 hektar meliputi Hutan Simpanan Tekal dan Hutan Simpanan Tembeling.
Projek itu apabila siap nanti akan dihubungkan menerusi talian 132 kilovolt sepanjang 29 kilometer ke talian grid nasional bagi menampung bekalan elektrik ke seluruh negeri Pahang. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment