KUALA LUMPUR – Penganjur konsert Future Music Festival Asia (FMFA) 2014 akan memulangkan bayaran kepada semua pihak berkenaan berikutan pembatalan persembahan pada hari ketiga konsert itu setelah berlaku enam kematian yang dikaitkan dengan FMFA.
FMFA, dalam akaun Facebooknya, berkata butiran lanjut tentang pulangan bayaran itu akan diumumkan dalam masa seminggu.
Katanya demi kepentingan keselamatan awam, penganjur mematuhi nasihat pihak berkuasa agar tidak meneruskan persembahan pada hari ketiga.
“Ini juga untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan. Kami menghargai kefahaman semua pihak dan akan berkongsi maklumat terkini tentang perkara ini dengan secepat mungkin,” katanya.
Awal pagi semalam (Sabtu), enam orang, termasuk tiga wanita, meninggal dunia akibat penggunaan dadah selepas mengalami sesak nafas ketika menonton konsert FMFA di Stadium Bukit Jalil.
Mereka dikenal pasti sebagai Kamal Zekry Kamal Basha, 22, Victor Wong E Hern, 26, Sabreena Kamaruddin, 21, M.Suresh, 28, Syazana Sohaime, 23, dan Nor Faizza Mohd Wazir, 27.
Penganjur konsert itu juga berkata satu laporan polis telah dibuat dan mereka bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkenaan untuk menyiasat dan menentukan punca kejadian.
“Kami mengadakan mesyuarat secara berkala dengan semua agensi yang terlibat dengan konsert itu, termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan doktor serta anggota paramedik sebelum dan ketika acara berlangsung,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang pulangan bayaran itu dengan mengunjungi www.futuremusicfestival.asia. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment