KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS (DPP) Wilayah Persekutuan memberi jaminan perjuangan parti itu untuk menegakkan keadilan tidak akan terhenti meskipun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.
Ketuanya, Ir. Khairil Nizam Khirudin mendakwa, DPP Wilayah Persekutuan akan meneruskan legasi perjuangan menentang ketidakadilan, kezaliman serta penyelewengan tanpa Anwar selepas ini.
“Kami melahirkan rasa simpati terhadap Anwar rentetan daripada keputusan Mahkamah Rayuan petang semalam. Kami tidak dapat menolak terdapat kemungkinan penghakiman yang diputuskan mempunyai motif politik.
“Tiang besi penjara tidak akan mendiamkan ruh perjuangan ini. Perjuangan menegakkan kebenaran tiada noktah sehingga berpisahnya nyawa dari badan,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Khairil Nizam berkata, pihaknya mendoakan keluarga Anwar diteguhkan iman untuk mendepani cabaran-cabaran mendatang kerana Allah akan memberikan keadilan sepenuhnya di Mahkamah Rabbul Jalil kelak.
Media semalam melaporkan, Anwar yang juga Penasihat PKR dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan setelah didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi yang bersidang bersama-sama Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh sebulat suara mendapati Anwar bersalah pada pukul 6.15 petang setelah mendengar hujah kedua-dua pihak sejak pukul 9.15 pagi.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan dengan syarat Ahli Parlimen Permatang Pauh itu perlu membayar jaminan sebanyak RM10,000 sebelum atau pada pukul 11 pagi, Isnin ini.
0 comments:
Post a Comment