KUALA TERENGGANU – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan memulakan projek perintis penanaman ubi gadung secara komersil di kawasan seluas 80 hektar di Pasir Akar dekat kampus UniSZA Tembila, Besut Jun ini.
Ketua Kluster Bio-Perubatan UniSZA Prof Dr Abdul Manaf Ali berkata ini susulan hasil kajian penyelidik mendapati ubi gadung boleh ditanam di kawasan berpasir dan kualitinya sama seperti yang tumbuh secara meliar di hutan.
“Kita sudah berjaya menyahtoksin racun dalam ubi gadung ini untuk dijadikan tepung untuk membuat kek, muffin serta biskut.
“Sudah tiba masanya, kajian ini memasuki fasa baharu iaitu untuk tujuan pengkomersilan yang akan melibatkan penduduk kampung agar menjadi punca
pendapatan mereka pula,” katanya kepada Bernama di majlis perasmian minggu penyelidikan dan pertandingan inovasi UniSZA di sini semalam.
Dengan geran RM2.2 juta diterima daripada kerajaan negeri Terengganu pada tahun 2010, ia melibatkan 11 kajian mengenai ubi gadung yang merangkumi pelbagai aspek.
Abd Manaf berkata UniSZA akan mengadakan memorandum persefahaman (MoU) dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) untuk penyelidikan lanjut mengenai bio-pestisida dalam ubi gadung.
“Bio-pestisida boleh digunakan untuk menghasilkan racun serangga selain kegunaan untuk sumber makanan dan farmaseutikal.
“Begitu juga dengan penggunaan ubi gadung untuk sumber makanan tambahan kepada haiwan ternakan dan kesemua ini membolehkan penanamannya secara komersil dilakukan lebih meluas selepas ini,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment