Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, April 10, 2014

No Comment

MELAKA – Banyak kawasan di Lembah Kelang masih mengalami catuan air kerana kemarau yang melanda sejak awal tahun ini yang mengurangkan dengan drastik paras air di kawasan-kawasan tadahan di Selangor.

Walaupun sejak dua minggu lepas penduduk Lembah Klang mula melihat hujan yang membantu mengelakkan krisis air, catuan air masih berterusan sehingga paras air di kawasan-kawasan tadahan mencapai paras selamat.

Bagaimanapun, masalah air yang dihadapai penduduk Lembah Klang bukan seteruk sepertimana yang dialami oleh penduduk Melaka pada 1991. Apabila Empangan Durian Tunggal kering pada awal 1991, lebih 600,000 orang terjejas dengan masalah air mereka berterusan sehingga 1992.

Bagaimanapun, Melaka telah mengambil iktibar daripada titik hitam dalam sejarah negeri Hang Tuah itu dan kali ini ia berada dalam kedudukan lebih baik untuk menangani musibah yang dibawa musim kemarau. Dalam Selangor boleh mencontohi Melaka dalam mengurus dan mempertingkat dengan berkesan sumber-sumber airnya.

WAWASAN MELAKA

Menyedari bahawa krisis air membawa implikasi politik, sosial dan ekonomi, Melaka memulakan wawasan jangka panjang yang termasuk memeterai perjanjian bekalan air dengan Johor pada tahun 1993.

Tidak lupa pembinaan insfrastruktur baharu seperti empangan, kolam tadahan, loji dan tali air merupakan pelan jangka panjang Melaka yang dilihat membuahkan hasil apabila berjaya mengharungi kemarau panjang bermula awal tahun ini.

Pelan menaiktaraf sistem pembekalan air dilaksanakan Kerajaan Negeri Melaka selepas krisis air 1991 telah menghasilkan sistem pembekalan air yang terbukti berkesan untuk rakyat apabila tiada sebarang catuan dilakukan terhadap pengguna air di negeri ini pada musim kemarau tahun ini.

Pelan catuan sememangnya telah dirancang pada 29 Mac ini sekiranya musim kemarau itu berterusan, namun pelan catuan itu tidak menjadi kenyataan pada pertengahan bulan ini berikutan perubahan Monsun Timur Laut ke Monsun Barat Daya mengakhiri kemarau panjang itu.

KEBERKESANAN SISTEM

Bercakap mengenai keberkesanan sistem bekalan air diterajui Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron melihat keberkesanan sesebuah sistem pembekalan pada ‘output’ yang diterima pengguna.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, sebagai seorang jurutera Tenaga Nasional dahulu beliau membandingkan keberkesanan itu dengan sistem pembekalan elektrik melalui tahap voltan yang diperolehi oleh pengguna.

“Dalam pembekalan air konsepnya sama cuma kita lihat pada kadar tekanan air yang diperolehi pengguna, saya lihat setakat ini kadar tekanan air di Melaka berada pada tahap yang tepat di seluruh negeri.

“Tekanan air tidak terlalu kuat yang boleh merosakkan sistem perpaipan dan tidak terlalu rendah hingga pengguna dapat kurang air…daripada ini saya lihat sistem pembekalan itu berkesan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.

Idris berkata keberkesanan sistem itu juga telah memberikan suatu bentuk keselesaan dan jaminan kepada rakyat di negeri ini bagi menghadapi musim kemarau panjang pada masa akan datang.

“Melaka mempunyai pelan kontigensi bekalan air yang mampu bertahan sehingga tempoh kira-kira tiga bulan sekiranya berlaku musim kemarau dan kita sentiasa berusaha untuk memanjangkan tempoh ini,” katanya.

SISTEM BEKALAN

Melaka pada masa ini mempunyai tiga empangan iaitu Empangan Durian Tunggal, Empangan Jus dan Empangan Asahan yang mampu menampung isipadu maksimum iaitu kira-kira 75 bilion liter air.

Selain empangan, Melaka turut mempunyai tiga kolam tadahan utama iaitu Kesang Satu, Kesang Dua dan Tasik Ayer Keroh selain kolam tadahan kecil serta fasiliti yang lain.

Krisis air 1991 juga menyaksikan penukaran sumber air mentah bagi loji rawatan air utama negeri ini iaitu Loji Bukit Sebukor iaitu daripada Sungai Putat di Batu Berendam kepada Sungai Melaka di Batu Lapan, Durian Tunggal di sini.

Selain sumber air mentah daripada Sungai Melaka yang membekalkan lebih 300 juta liter air sehari, negeri ini juga memperolehi sumber air mentah daripada Sungai Gerisik di Muar sebanyak lebih 100 juta liter sehari dan Sungai Kesang lebih 54 juta liter sehari.

Menurut Idris, apa yang menarik adalah kesemua empangan, kolam tadahan, sungai dan fasiliti air di negeri ini sebenarnya ‘berhubung’ antara satu sama lain sama ada secara semulajadi atau buatan.

Memberikan contoh Empangan Durian Tunggal sekiranya dilihat daripada mata kasar terpisah dengan sungai dan kolam takungan lain, tetapi sebenarnya mempunyai ‘talian air’ semulajadi dengan Sungai Kesang dan kolam tadahan di Kesang.

“Sekiranya mahu kita boleh gunakan talian air itu sepenuhnya bagi mengalirkan air ke Empangan Durian Tunggal, tetapi proses itu tidak semudah buka tutup suis seperti bagi pengagihan elektrik…kita perlu pam air dan lakukan pelbagai perkara,” katanya.

PELAN JANGKA PANJANG

Dilaporkan permintaan air di Melaka pada masa ini adalah kira-kira 500 juta liter sehari dan sistem pembekalan air sekarang mampu menampung permintaan sehingga tahun 2017.

Bagi memanjangkan tempoh ini, Melaka telah mengambil pelbagai inisiatif antaranya menandatangani perjanjian bekalan air mentah tambahan dengan Johor pada Disember 2013.

Dengan perjanjian baharu itu, Johor akan membekalkan 35 juta gelen (159.11 liter) air sehari kepada Melaka melalui Sungai Muar.

Selain itu, Idris berkata Melaka turut mengenalpasti sebuah lagi kolam tadahan air iaitu Tasik Biru terletak di Chin Chin, Jasin yang sesuai digunakan sebagai sumber bekalan air negeri ini.

Beliau berkata kolam yang mampu menampung lebih 100 juta gelen air (lebih 378 juta liter) itu boleh memenuhi keperluan air di negeri ini antara dua hingga tiga minggu sekiranya hujan tidak turun.

Selain itu, katanya, Melaka turut merancang pembinaan sebuah kolam takungan air di Sungai Jernih, Alor Gajah yang akan menampung permintaan air di utara negeri ini meliputi kawasan-kawasan seperti Kuala Sungai Baru, Simpang Ampat dan Lubuk Cina.

“Kita jangka dengan adanya kolam baru ini kita dapat memanjangkan keupayaan menampung permintaan air di negeri ini daripada tahun 2017 ke tahun 2040,” katanya.

Namun Idris menegaskan semua yang dilakukan tidak akan memberi sebarang makna sekiranya rakyat negeri ini sendiri tidak mempunyai kesedaran untuk mengamalkan penggunaan air secara berhemah.

Peringatan beliau ada kebenarannya apabila dilaporkan tahap penggunaan air individu di Melaka adalah tinggi iaitu pada kadar 220 liter seorang sehari berbanding kadar penggunaan di peringkat nasional sebanyak 180 liter sehari.

“Jika kita mahu menjadi negeri maju yang sebenar, mentaliti rakyat mestilah maju,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment