Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, April 14, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Kerjaya sebagai perunding kesihatan memerlukan Mohd Fadzil Muda, 35, bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi untuk menemui pelanggannya.

Tuntutan tugas ini sememangnya agak meletihkan apatah lagi apabila terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Bagaimanapun, rutin kerja yang mencabar bagi anak kelahiran Terengganu ini ada kepuasannya terutama apabila pelanggan menunjukkan reaksi positif dengan penerangan yang diberikan.

Namun, beliau tidak menafikan berasa sedikit tertekan dengan kesesakan lalu lintas, senario lumrah bagi mereka yang tinggal atau bekerja di Lembah Klang.

“Ada kalanya jalan sesak begitu lama membuatkan saya bimbang sampai lewat untuk janji temu dengan klien.

“Dalam dunia pemasaran, ketepatan waktu adalah elemen penting bagi memastikan urusan perniagaan berjalan lancar,” beliau memberitahu Bernama dalam wawancara di pejabatnya di Bandar Tun Razak, Cheras baru-baru ini.

PILIH BERBASIKAL ELEKTRIK

Tidak mahu terus dihimpit tekanan kesesakan jalan raya, Mohd Fadzil memikirkan alternatif pengangkutan lain untuk urusan kerjanya.

Akhirnya, beliau memilih basikal elektrik berkuasa bateri yang dikenali sebagai ‘YikeBike’ untuk memudahkan pergerakannya.

Menurut Mohd Fadzil, beliau tertarik untuk menjadikan basikal sebagai alternatif pengangkutan apabila melihat jirannya menunggang basikal itu.

Reka bentuk basikal memang agak berlainan daripada yang ada di pasaran tetapi amat sesuai dengan cita rasa golongan muda hari ini.

“Saya memang tengah ‘google’ di Internet mencari ‘smart bike’ dan apabila melihat jiran menunggang YikeBike, terus berkenan. Kebetulan ada ‘road show’ sempena Hari Hijau di Mid Valley dan ada pelancaran basikal itu.

“Pada saya, ia amat praktikal dan terus buat keputusan membelinya,” katanya.

YikeBike ialah basikal elektrik yang mempunyai reka bentuk moden bersaiz kecil dan unik. Produk inovasi teknologi dari New Zealand ini dikendalikan YikeBike Ltd.

Diadaptasi daripada basikal klasik, Penny Farthing, ia mempunyai roda besar di bahagian hadapan dan kecil di bahagian belakang.

Rekaan fizikal YikeBike begitu futuristik sehingga anda akan berasa seperti melihat kenderaan masa hadapan dalam filem Hollywood.

CEPAT DAN JIMAT

“Inovasi terbaharu ini antara penyelesaian terbaik kesesakan lalu lintas dan amat sesuai untuk mereka yang menghargai masa. Sebagai pengguna LRT, saya juga tidak perlu buang masa cari tempat letak kereta,” katanya.

Berat Yikebike adalah antara 11 hingga 14 kilogram. Ia boleh dilipat serta disimpan di dalam beg yang disediakan dan ini memudahkan untuk membawa basikal ini ke mana-mana sahaja.

Malahan, pada tahun 2011, basikal ini memperoleh pengiktirafan Guinness Book of World Records sebagai basikal elektrik paling ringan, kecil dan mudah lipat di dunia.

Berkelajuan maksimum 23 kilometer sejam, produk New Zealand ini ternyata memudahkan Mohd Fadzil untuk sampai ke destinasi berdekatan ataupun ke stesen komuter, monorail dan teksi awam.

YikeBike hanya menggunakan bateri litium ion 450 watt untuk menggerakkannya, justeru, basikal ini boleh dijadikan pilihan untuk menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Mohd Fadzil yang telah menggunakan Yikebike secara aktif selama dua tahun memberitahu penulis, beliau dapat mengurangkan perbelanjaan kira-kira RM8,000 setahun.

“Saya tidak perlu beli petrol, tidak perlu bayar tol. Ia juga tidak memerlukan lesen atau cukai jalan.

“Untuk melipat basikal ini hanya memerlukan masa 15 hingga 20 saat. Bateri basikal ini boleh dicas di soket elektrik di rumah atau di mana-mana sahaja.

“Bateri basikal juga boleh dicas menggunakan power bank yang biasa digunakan untuk mengecas gajet seperti telefon,” jelas Mohd Fadzil.

Bateri Yikebike hanya memerlukan 50 minit untuk dicas sepenuhnya dan ia boleh bergerak sejauh 12 kilometer sebelum perlu dicas semula. Bagaimanapun, ini bergantung juga kepada penggunaannya.

SELAMAT DAN SELESA

Melihat kepada bentuk fizikal Yikebike, mungkin ada yang mempersoalkan faktor keseimbangan basikal ini serta aspek keselamatannya.

Menurut Mohd Fadzil, rekaan basikal elektrik itu dikaji dengan teliti dengan penekanan diberi kepada struktur fizikal supaya tidak membahayakan penunggang.

Turut diambil kira ialah faktor keseimbangan dengan memberi kelainan kepada kedudukan hendal.

Berbanding basikal biasa, hendal YikeBike yang diletakkan di bahagian belakang tempat duduk sebenarnya mampu memberikan keselesaan kepada penunggang.

“Rekaan hendal ini membuatkan penunggang lebih relaks seolah-olah duduk di atas kerusi. Pemandangan pun lebih luas dan ini membantu penunggang untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” kata pengguna aktif YikeBike Nurfarahain Muzzamir.

Yikebike yang boleh dianggap mesra alam turut dilengkapi ciri-ciri keselamatan seperti lampu sisi, lampu brek, hon dan lampu kecemasan.

Ia juga mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan boleh digunakan di jalan raya tanpa sebarang masalah.

Penunggang bagaimanapun disyorkan tidak mengabaikan pemakaian topi keledar.

MAMPU MILIK?

Walaupun basikal ini dianggap sebagai praktikal, ramai yang menggelengkan kepala sebaik sahaja mendengar harga iaitu antara RM8,999 hingga RM15,999, bergantung kepada kategorinya.

Berdasarkan spesifikasi dan kecanggihan teknologi YikeBike yang terbahagi kepada tiga jenis, Fusion, Synergy dan Fully Carbon, ia boleh dianggap pembelian berbaloi untuk jangka masa panjang.

Selain menjimatkan masa dan perbelanjaan harian, ia juga memberikan kepuasan berganda kepada penunggang.

Bertitik-tolak daripada manfaat itu, Mohd Fadzil bersama abangnya, Mohd Suffian Muda, 40, membuat keputusan untuk menjadi pengedar YikeBike di sekitar Lembah Klang dan wilayah Pantai Timur.

Satu akaun laman sosial Facebook, wowyikebike, juga telah diwujudkan bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai basikal moden ini.

“Penjagaan YikeBike tidak sukar. Cuma, selepas menggunakannya perlulah disimpan dengan baik di dalam beg disediakan,” kata Mohd Suffian.

TREND BASIKAL

Meskipun berbasikal banyak kebaikannya untuk kesihatan, namun masih ramai yang tidak mengamalkannya.

Mungkin ada yang tidak mahu ke pejabat dalam keadaan berpeluh dan terpaksa membersihkan diri sekali lagi.

Ada juga yang mengambil kira faktor jarak perjalanan dan cara pemanduan masyarakat yang mungkin membahayakan keselamatan mereka.

“Bagi saya YikeBike masih pilihan terbaik untuk mereka yang ingin berbasikal ke pejabat atau kolej dalam keadaan tidak meletihkan kerana tidak perlu dikayuh.

“Hanya dengan menekan suis, basikal elektrik ini akan bergerak ke mana sahaja destinasi yang anda inginkan,” kata Mohd Fadzil.

Sama ada anda menunggang Yikebike atau apa jua basikal, pilihan ini menepati saranan mengamalkan budaya sihat di samping mempunyai satu lagi pilihan pengangkutan.

Kerajaan melaksanakan pelbagai kempen seperti ‘Pagi Bebas Kenderaan’ yang dijalankan pada hari Ahad pertama setiap bulan, ‘KL’s Night Ride’ dan program konvoi berbasikal.

Ia bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan asap karbon dioksida tetapi dapat memupuk budaya melestarikan alam sekitar. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment