Percikan bunga api mengindahkan lagi ruang udara Pusat Pentadbiran Kerajaan, Putrajaya pada sambutan Ambang Merdeka sempena Hari Kemerdekaan kali ke-56 yang bertemakan "Malaysia Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku" di Pusat Maritim Putrajaya di Putrajaya malam semalam. - Foto Bernama
PUTRAJAYA - Percikan bunga api membawa kilauan beribu warna indah menerangi langit Putrajaya menghidupkan Ambang Merdeka 2013 malam semalam sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 Malaysia.
Selain dentuman dan percikan bunga api, ketibaan detik 12 malam menandakan tibanya 31 Ogos, tanggal keramat Malaysia merdeka pada 1957, tentunya disambut rakyat dengan penuh kesyukuran kerana mampu menjalani kehidupan di sebuah negara yang aman dan makmur.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyertai ribuan warga Putrajaya dan penduduk kawasan sekitar yang megah mengibarkan Jalur Gemilang, dalam acara utama Ambang Merdeka 2013 di Marina Putrajaya, yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Maritim Putrajaya, di Presint 5.
Beliau disertai isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Ke-56, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan menteri-menteri kabinet.
Di IPOH, antara acara menarik sambutan ambang merdeka di Stadium Indera Mulia ialah penyerahan tengkolok kepada lapan anggota komando VAT 69 oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai simbolik penghargaan atas pengorbanan pasukan keselamatan demi kedaulatan negara.
Di SEREMBAN, hampir 10,000 orang meliputi pelbagai lapisan masyarakat membanjiri Padang Majlis Perbandaran Seremban dan Dataran Seremban sejak 9 malam untuk menanti ketibaan 31 Ogos.
Mereka disajikan dengan persembahan bunga api tepat jam 12 tengah malam.
Di MELAKA, sambutan diadakan selepas Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri Raya Merdeka di Stadium Hang Tuah, yang turut disertai pelancong asing.
Di PERLIS, tiada sambutan secara rasmi di peringkat negeri, namun Universiti Teknologi Mara (UiTM) tetap menyemarakkan acara itu di kampusnya di Arau dengan laungan "Merdeka" oleh pelajar dan pensyarah tepat 12 tengah malam.
Di JOHOR BAHARU, sambutan di Dataran Bandaraya bermula sejak 3 petang dengan pelbagai program termasuk pertunjukan belon udara panas, papan luncur, basikal fixie, persembahan akustik, permainan rakyat seperti belon acah, baling selipar, batu seremban dan congkak.
Di KUALA TERENGGANU, sambutan di Dataran Shahbandar dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung dimulakan dengan nyanyian 'Negaraku' dan persembahan lagu patriotik serta deklamasi puisi.
Ambang merdeka, yang disambut meriah meskipun hujan renyai-renyai di Padang Kota lama di PULAU PINANG, diserikan dengan persembahan kebudayaan sebelum pertunjukan bunga api.
Ribuan pengunjung membanjiri Persiaran Gurney, Bukit bendera dan Queensbay sambil menunggu detik 12 tengah malam.
Pelancong dari United Kingdom, Doug Howell, 65, bersama isterinya, Vivienne Howell, 61, berkata sambutan kemerdekaan di Malaysia amat meriah dan mereka kagum melihat rakyat pelbagai kaum serta lapisan masyarakat yang bersemangat dan menunjukkan kecintaan mereka kepada negara.
"Semalam kami melihat kanak-kanak berlatih untuk perarakan esok dan malam ini kami boleh melihat komuniti berbilang kaum bersama-sama serta mengalu-alukan kami pelancong bagi meraikan kemerdekaan negara ini," kata Doug.
Beliau berkata sesungguhnya Malaysia menawarkan pengalaman unik dalam industri pelancongan dengan pelbagai lokasi menarik untuk dikunjungi serta keramahan rakyatnya.
Di SHAH ALAM, sambutan ambang merdeka menampilkan kelainan menerusi persembahan kawad senyap Tentera Laut Diraja Malaysia, akrobatik motosikal Angkatan Tentera Malaysia, Tatu Red Warrior (Wira Merah) serta perarakan kereta berhias.
Di KOTA KINABALU, 12 kereta berhias mewakili jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan menyertai perarakan Ambang Merdeka manakala 700 pelajar sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi mengambil bahagian dalam perarakan tanglung di Dataran Bandaraya.
Di JITRA, kebanyakan pengguna Lebuhraya Utara Selatan berhenti di bahu jalan berhampiran Taman Tema Bandar Darul Aman untuk melihat pertunjukan bunga api sempena sambutan ambang merdeka peringkat negeri. - Bernama
0 comments:
Post a Comment