Ketua Penerangan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad
IPOH - Program Anak Angkat Menteri Besar Perak ialah hasil sumbangan dan tajaan syarikat korporat serta swasta tanpa melibatkan sebarang kewangan kerajaan negeri, persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) diberitahu hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Saarani Mohamad berkata kesemua 113 orang anak angkat menteri besar adalah daripada keluarga berpendapatan rendah luar bandar yang berpotensi dalam bidang akademik.
"Kami tawarkan kepada kepada mana-mana badan korporat serta syarikat swasta untuk menyumbang wang dan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) bertindak sebagai sekretariat, itu sahaja, tiada apa-apa janji dan habuan kepada penyumbang. Mereka membiayai program itu dengan hati tulus ikhlas," katanya ketika menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) pada persidangan itu.
Beliau berkata Ngeh sepatutnya tidak berprasangka buruk terhadap penyumbang dana program itu sedangkan pada masa yang sama wakil rakyat sering menggesa supaya syarikat korporat dan pihak swasta membantu masyarakat terutama dalam bidang pendidikan.
Pengerusi DAP Perak itu sebelum ini turut mempertikaikan nama program berkenaan dengan mencadangkannya ditukar kepada Anak Angkat YBUDR memandangkan nama Anak Angkat Menteri Besar Perak memberi gambaran seolah-olah ia melibatkan sumbangan menteri besar.
Ngeh turut bertanya sama ada dasar kerajaan negeri akan terjejas atau sebaliknya dengan penajaan syarikat korporat dan swasta kepada program itu.
Saarani berkata pemimpin DAP itu tidak perlu 'fobia' dengan nama program berkenaan kerana ia bukan program Anak Angkat Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
"Mereka adalah anak angkat Menteri Besar Perak, apa masalahnya...pernah dengar tak Kursi Pengajian Melayu Tun Abdul Razak, bukan daripada duit (Allahyarham) Tun Abdul Razak.
Katanya program Anak Angkat Menteri Besar dari tahun 2010 hingga 2013 melibatkan RM624,176.30 untuk 66 orang pelajar Melayu, Cina (21), India (11), Orang Asli (14) dan seorang dari lain-lain bangsa.
Setiap daripada mereka menerima peruntukan RM50 setiap bulan untuk pembelian kelengkapan pembelajaran, pakaian raya, kursus motivasi dan pelajaran serta lawatan sambil belajar.
Ketika menjawab soalan Maslin Sham Razman (BN-Bukit Chandan), Saarani berkata jumlah anak angkat itu akan ditambah namun ia bergantung kepada nilai tajaan serta dana yang diterima pada masa depan. - Bernama
0 comments:
Post a Comment