Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, August 29, 2013

No Comment

Timbalan Pengarah Jabatan Penjara Marang, Raja Mohd Amazon Raja Daud (dua, kiri) memotong kek sebagai simbolik merasmikan Program Jalinan Kasih sempena Aidilfitri di Penjara Marang sambil diperhatikan Kamal (kanan sekali).

MARANG – “Saya insaf sepanjang ditahan di penjara.” Itu pengakuan seorang pemandu lori dan juga pengawal keselamatan sambilan yang perlu menjalani hukuman 10 tahun penjara di Penjara Marang bermula 26 Januari 2012 kerana jenayah rogol.

Dia yang mahu dikenali sebagai Kamal, 33, ditemui Sinar Harian pada Program Jalinan Kasih sempena Aidilfitri di Penjara Marang, semalam bukan sahaja insaf tetapi kini mampu membaca al-Quran dan Yasin serta tidak meninggalkan solat dan  sering berpuasa sunat.

Perubahan itu sekali gus membuktikan bahawa tembok batu berjeriji besi menempatkan banduan bukan hanya sekadar tempat kurungan yang memisahkan mereka dengan dunia luar, sebaliknya berperanan sebagai pusat pemulihan bagi membentuk sahsiah diri.

Kamal berkata, tempat kurungan itu dijadikan ruang kepada permulaan kehidupan barunya dan rakan lain untuk memperbaiki kesilapan pernah dilakukan.

Bapa seorang anak itu juga berkata, hukuman penjara 10 tahun itu pengajaran bermakna buatnya agar menjadi manusia lebih bertanggungjawab selepas dibebaskan kelak.

“Saya berjanji tidak akan mengulangi kesalahan lalu. Hukuman ini menjadi pengajaran buat saya untuk meneruskan kehidupan selepas dibebaskan nanti,” katanya, semalam.

Program di ruang khas Penjara Marang itu dirasmikan Timbalan Pengarah Jabatan Penjara Marang, Raja Mohd Amazon Raja Daud.

Dalam pada itu Kamal mengakui kesilapan lalu disebabkan kealpaan diri sendiri.
“Saya harap selepas ini masih ada peluang saya untuk membina kehidupan baru bersama keluarga dan masyarakat,” katanya yang dijangka dibebaskan pada 26 September 2018.

Sementara itu, bapa Kamal yang mahu dikenali sebagai Jusoh, 70, berkata, banyak pengalaman dan pengajaran diperoleh anak bongsu daripada empat beradik itu selepas menjalani hukuman, sejak lebih setahun lalu di penjara berkenaan.

“Harap ia menginsafkan anak saya dan berharap dia tidak terlibat lagi dengan jenayah selepas dibebaskan, sebaliknya hanya menumpukan sepenuh perhatian kepada masa depannya.

“Walaupun terasa perit menunggu saat kebebasannya tetapi kami sentiasa memberikan sokongan sepanjang dia berada di penjara dan berharap dia terus dididik, diasuh oleh pihak penjara dengan pelbagai ilmu kehidupan,” katanya.

Timbalan Pengarah Jabatan Penjara Marang, Raja Mohd Amazon Raja Daud pula berkata, program tersebut dianjurkan bagi mewujudkan nilai kasih sayang antara masyarakat khususnya dalam kalangan keluarga dan penghuni sempena Aidilfitri.

“Seramai 10 banduan yang telah melepasi Pelan Pembangunan Insan (PPI) dipilih untuk menikmati jamuan bersama keluarga sempena sambutan perayaan Aidilfitri tahun ini,” katanya.
Sumber : Sinar harian

0 comments:

Post a Comment