Selepas kejayaan menganjurkan konsert bintang sensasi antarabangsa seperti Justin Bieber, Avril Lavigne dan kumpulan Paramore (sekadar menyebut beberapa nama) yang mendapat sambutan luarbiasa daripada kalangan pencinta muzik tanah air, syarikat perkhidmatan Telekomunikasi Prabayar Tune Talk sekali lagi bakal menghadirkan seorang lagi penghibur yang tidak kurang hebatnya, Ke$ha.
Bercakap pada sidang media khas pengumuman konsert tersebut, Ketua Pengawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo berkata hasrat mahu membawa Ke$ha ke Malaysia sekaligus menganjurkan konsert bintang berusia 26 tahun itu telah difikirkan sejak dua tahun lalu. Ketika itu penyanyi Pop Amerika ini sedang rancak mengecap populariti.
“Sejak dua tahun lepas kami memang dah rancang nak bawa Ke$ha ke sini. Namanya memang ada dalam senarai pendek kami. Kenapa Ke$ha? Dia muda, hot dan dia nakal. Dia sentiasa mempamerkan aksi yang cukup energetik setiap kali membuat persembahan pentas. Ciri-ciri personaliti yang dimiliki oleh penghibur ini sangat kena idealogi jenama Tune Talk yang mana kami adalah syarikat telco yang aktif dan agresif dari segi perkhidmatan untuk para pelanggan kami”, katanya ketika ditemui di Bar WXYZ, ALoft, petang semalam.
Begitu pun, Ke$ha tidak hanya dikenali dengan bakat luarbiasa sebagai penghibur tetapi penyanyi yang mula menawan dunia menerusi lagu Tik Tok itu juga cukup popular dengan beberapa kontroversi. Paling panas, apabila Ke$ha pernah mencetuskan kontroversi menerusi kenyataan mengakui yang dirinya seorang wanita biseksual. Dia juga aktif dalam aktiviti yang melibatkan LGBT(lesbian, gay, bisexual dan transgender) pernah diundang membuat persembahan di majlis-majlis pasangan homoseksual.
Ya, dengan ‘identiti diri’ Ke$ha itu tidak mustahil konsert ini bakal mendapat tentangan sesetengah pihak. Malah sebelum ini pun ada beberapa konsert antarabangsa yang dianjurkan oleh penganjur lain juga pernah mendapat bantahan keras dari beberapa pihak tertentu gara-gara isu sensitiviti agama mahupun isu gender. Misalnya konsert Erykah yang sepatutnya berlangsung Februari tahun lalu terpaksa dibatalkan disaat-saat akhir.
Sedia maklum dengan kontroversi yang tercetus sebelum, Jason bagaimanapun yakin bahwa konsert bakal direalisasi ini bersih dari sebarang kontroversi.
“Tidak ada apa yang perlu di risaukan sebaliknya pihak kami paling mengutamakan keselamatan penonton pada malam itu nanti. Konsert ini adalah sebagai hiburan semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan personaliti penyanyi itu. Mereka yang datang mahu berseronok sepanjang lebih kurang dua jam konsert itu berlangsung nanti.
“Kalau ya pun personalitinya seorang biseksual tetapi Kesha tidak menyentuh langsung tentang soal keagamaan. Dulu pun, konsert Adam Lambert ditentang hebat tapi berjaya dilaksanakan. Jadi kami dah bersedia dan akan pastikan tidak timbul sebarang ‘isu panas’.
“Kami juga menjangkakan sebahagian besar penonton yang datang nanti di kalangan remaja dan mungkin juga ramai ibu bapa yang turut menemani anak-anak mereka. Mengenai penampilan Ke$ha yang seksi, sama seperti penyanyi antarabangsa lain yang membuat konsert di sini, Ke$ha juga perlu akur dan mengikut dengan peraturan yang telah ditetapkan. Apa yang penting ialah keselamatan, bukan cetus kontroversi!”, jelas Jason lagi.
Atas nama Ke$ha Warrior Tour Kuala Lumpur, konsert solo pertama Ke$ha akan diadakan pada 26 Oktober depan di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Judul konsert tersebut diambil sempena album kedua yang berjudul Warrior yang di release pada Disember 2012. Selain Tik Tok, Ke$ha atau nama sebenarnya Kesha Rose Sebert juga popular dengan seleksi lagu seperti We R Who We R, Blah, Blah, Blah, The Love Is My Drugdan Die Young.
Konsert anjuran Tune Talk dan Livescape ini dijangka bakal menjadi tumpuan kira-kira 8000 peminat. Tiket-tiket berharga RM108, RM158, RM208, RM258 akan mula dijual pada 1 September ini. Maklumat lanjut boleh layari http://redtix.airasia.com atau kunjungi outlet Rock Coner berhampiran anda.
Selain itu peminat-peminat juga berpeluang memenangi pas untuk bertentang mata secara lebih dekat dan intim dengan Ke$ha di sesi temu-mesra (meet & greet) secara eksklusif. Maklumat lanjut layari, www.keshaparty.com atau www.facebook.com/kesha atau http://www.facebook.com/tunetalk atau http://www.twitter.com/TuneTalk. – Malaysian Digest
0 comments:
Post a Comment