Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, August 29, 2013

No Comment

SINAR Harian memulakan kupasan isu di Mesir sejak dari hari penggulingan Presiden Mohamed Mursi pada 3 Julai. Susulan daripada itu kupasan demi kupasan dilakukan hingga memaparkan penderitaan rakyat di Mesir.

Pendekatan pandangan saintis politik juga diambil kira bagi mengimbangi kisah krisis di negara itu. Kini, Sinar Harian menemu ramah seorang lagi penganalisis dari Mesir yang pakar dalam bidang kajian ‘Arab Spring’ sejak 2010.

Beliau melontarkan pandangan bebas dan membawa suara harapan rakyat di negara itu. Ikutilah wawancara Timbalan Pengarang Berita Farush Khan, Ketua Meja Global Liza Hasan, jurufoto Rosli Taib, jurukamera Md Nidzam Osman dan Yusrizal Yusuf.



Apakah permintaan dan harapan saudara untuk masa depan di Mesir ketika ini?

Apa yang kami mahu sangat mudah. Permintaan utama adalah demokrasi dan rakyat bersatu. Jika dahulu kami sering berbicara tentang negara dan empayar kegemilangan Islam, tetapi kini, kami tidak lagi dibenarkan bercakap mengenai kerajaan Islam. Kami disekat daripada bercakap mengenai empayar Islam. Kami juga tidak boleh bercakap mengenai Ikhwanul Muslimin (IM).

Adakah tindakan kerajaan sementara kini membunuh demokrasi yang hanya bertahan setahun ketika pemerintahan Mursi?

Demokrasi di Mesir tercalar akibat tindakan kerajaan sementara. Mereka melakukan keganasan hingga rampasan kuasa ketika Mesir berada dalam pemerintahan demokrasi. Perkara ini amat merbahaya bukan sahaja untuk Mesir tetapi untuk mana-mana negara lain.



Adakah demokrasi benar-benar diamalkan di Mesir ketika pemerintahan Mursi kerana beliau dikecam dan digelar sebagai diktator?


Itu tidak benar. Rakyat yakin demokrasi mampu memerintah dan mereka melakukan pemilihan secara pilihan raya. Pada pilihan raya pusingan pertama, parti Islamis mendapat 75 peratus. Pada Pilihan Raya Parlimen, IM mendapat 40 peratus secara tunggal dan 25 peratus diperoleh oleh kumpulan salafi, lima peratus memihak kepada parti-parti lain. Ini menyaksikan satu perkembangan baik; membawa kesemua parti ke arah demokrasi dan mereka dapat menerimanya. Tetapi jika demokrasi dihentikan, ini bermakna mereka memberi mesej kepada rakyat bahawa demokrasi gagal berperanan sekali gus mengembalikan semula kepada era pemerintahan tentera.

Adakah perkara ini memberi tamparan kepada Mesir?

Perkara ini memberi kesan negatif kepada seluruh negara Islam kerana menjadikan contoh Mesir sebagai negara Islam yang gagal dalam pelaksanaan demokrasi. Mereka mengambil demokrasi dari rakyat dengan cara keganasan.

Adakah benar tentera melakukan keganasan pada 13 dan 14 Ogos di Dataran Rabaa Adawiyah, Nadha dan Tahrir?

Dataran Tahrir menjadi pilihan kerana di situ pernah berlaku revolusi pada 21 Januari 2011. Ketika perhimpunan mega dataran ini dikuasai oleh pro kerajaan yang mahu menunjukkan mereka mempunyai ramai pengikut. Pro Mursi pula tidak mahu membuat kekecohan dan tidak mahu membuat sebarang konflik. Bagi mengelakkan perkara itu, mereka memilih dataran Rabaa Adawiyah di Kaherah dan Dataran Nadha di Giza. Mereka mahu menunjukkan perhimpunan ini adalah aman. Mereka juga mahu menunjukkan jutaan rakyat menyokong Mursi, sekali gus membuktikan ini adalah kuasa dan suara rakyat.

Apa yang berlaku di situ?

Kejadian itu berlaku pada jam 11 pagi. Ramai rakyat tidak sedar tentang gempur dan pembersihan di kawasan itu kerana Menteri Dalam Negeri (Mohamed Ibrahim), memberi jaminan tidak akan menyerang Rabaa Adawiyah. Beliau berjanji menyuraikan kumpulan pro Mursi yang berhimpun secara aman. Ketika itu ada sebilangan mereka pulang ke rumah. Namun penyokong Mursi berasa tertipu dan ragu-ragu dengan kehadiran puluhan trak tentera dan kereta perisai. Tiba-tiba serangan berlaku.

Adakah benar tentera melakukan keganasan?

Serangan itu berlanjutan selama 11 jam. Selama itulah pro Mursi cuba mempertahankan diri. Bayangkan bagaimana rakyat dengan tangan kosong boleh mempertahankan diri? Tentera datang membawa kereta perisai dan bulldozer yang biasanya digunakan dalam peperangan. Untuk apa tentera datang membawa bulldozer? Ini bermakna tentera berniat ‘membersihkan’ rakyat yang berhimpun dan membawa mereka ke kawasan tertentu. Tentera mempunyai niat untuk membunuh rakyat sendiri.
Seorang pegawai perubatan mengesahkan tentera membunuh rakyat dengan peluru terlarang oleh negara antarabangsa. Tentera menggunakan senjata berat. Selepas itu, tentera juga pergi ke klinik yang dipenuhi mangsa cedera lalu membunuh mereka. Sedangkan, Nabi SAW sendiri pernah bersabda, jika musuh cedera, jangan diapa-apakan lagi.

Apakah tindakan paling kejam dilakukan dan mengapa jumlah kematian dipalsukan?

Tentera pergi ke klinik yang sarat dengan mangsa cedera. Mereka menggunakan bulldozer meroboh dan membakar klinik. Tindakan itu dilakukan supaya jumlah mangsa maut tidak boleh dikira. Oleh itu, mereka hanya mengatakan jumlah kematian 900 orang, sedangkan angka sebenar ialah 5,000 orang maut dan 10,000 lagi cedera.

Adakah mereka mengugut waris ketika ingin mengambil jenazah?

Apabila anggota keluarga mahu mendapatkan kebenaran pengebumian, mereka ditawarkan dua pilihan. Pertama melaporkan, IM membunuh mereka dan kedua mereka meninggal dunia dengan cara membunuh diri.  Ramai terpaksa menggunakan alasan membunuh diri untuk mendapatkan kembali mayat anak atau saudara mereka. Pengakuan ini banyak disebarkan ke media.


Adakah benar mereka menculik dan membakar jenazah?
Mereka menculik jenazah dan menipu kononnya jenazah itu adalah tentera dan polis. Jika ada mengatakan kematian ke atas polis menjangkau 25 peratus sila kemukakan bukti.

Adakah IM punca segala kekecohan ini?

Tuduhan itu adalah pembohongan terbesar kerana untuk 80 tahun IM tidak pernah melakukan serangan ganas. Tetapi ketika rampasan kuasa itu, terdapat kumpulan jihad dari pro keganasan, Jamaah Islamiyah, Al Qaeda. Jadi ketika rampasan kuasa itu, mereka semua berada di situ. Tuduhan mengatakan IM melalukan demonstrasi ini adalah permulaan segala kekufuran untuk melabelkan IM mengetuai keganasan. Di Mesir, terdapat lima kumpulan Islamis. Ada kumpulan bukan pengganas seperti IM Muslimin. Tetapi ada juga kumpulan pengganas seperti Al Qaeda. IM hanya satu bahagian daripada kumpulan bersekutu yang menentang rampasan kuasa bagi memulihkan kesahihan. Kumpulan ini diwujudkan oleh 30 kumpulan anggota. Tidak adil untuk menuduh IM melakukan keganasan kerana IM telah wujud sekian lama dan tidak pernah menyokong atau melakukan keganasan.

Ikuti sambungan wawancara bahagian kedua ini dengan mendekati siapakah Mursi, apakah kepentingan Sinai dan mengapa Terusan Suez menjadi rebutan antara Mesir dan Amerika Syarikat. - Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment