KUALA LUMPUR – Umat Islam digalak mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil di masjid dan surau di seluruh negara berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa penerbangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, majlis bacaan Yasin dan tahlil peringkat negara akan diadakan di Masjid Negara selepas solat Maghrib esok.
“Saya dan seluruh agensi Agama Islam Persekutuan berkongsi rasa sedih atas insiden yang menimpa pesawat MAS MH370. Kami percaya, kisah duka tragedi berkenaan turut dirasai bukan sahaja warga Malaysia bahkan seluruh dunia yang sama berharap agar pesawat berkenaan segera ditemui,” katanya dalam satu kenyataan.
Berhubung solat jenazah ghaib, Jamil Khir berkata sebagaimana diputuskan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bahawa penumpang pesawat MH370 dikategorikan sebagai mafqud (orang hilang), solat jenazah ghaib terhadap mangsa beragama Islam hanya diadakan setelah keputusan pencarian dimuktamadkan.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi, 8 Mac dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian. Pesawat dijadualkan tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Pada hari ke-17 operasi mencari dan menyelamat, Najib mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi, berdasarkan analisis data satelit Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB). – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment