ALOR SETAR – “Kami tidak buang batu nisan di tepi parit,” kata Setiausaha Jawatankuasa Masjid Halim Shah, Seberang Pantai Johor, Mohd Sabri Omar.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan batu nisan tanah perkuburan masjid itu dibuang tepi parit selepas dilakukan penimbunan tanah bagi pembinaan kubur berlapis.
Sambil menafikan dakwaan itu, beliau berkata ia memang tidak berlaku kerana perkara itu sudah dimaklumkan kepada waris terlebih dahulu.
“Malah, waris dibenarkan untuk mencabut sendiri batu nisan dan dibenarkan dibawa pulang,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Sabri berkata, kebanyakan batu nisan yang dicabut oleh waris ditinggalkan di satu kawasan berdekatan masjid, sebelum dibawa pulang.
“Batu nisan yang didakwa berselerak dilakukan waris sendiri yang meninggalkannya di situ. Mungkin mereka belum sempat membawanya pulang. Bagaimanapun, batu nisan yang tidak diambil oleh waris ditanam di kawasan berdekatan masjid oleh jawatankuasa masjid,” katanya.
Menurutnya, batu nisan terbabit dipercayai ditinggalkan waris di kawasan rumah penduduk berdekatan sejak tahun 2011.
“Batu nisan itu memang kita tidak boleh tanam sebab waris yang membuat keputusan untuk mencabutnya dan meletakkannya berdekatan rumah penduduk sebelum dibawa pulang,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, kebanyakan penduduk Kampung Seberang Pantai Johor, tidak dapat menahan kesedihan apabila kubur ahli keluarga mereka sudah tidak lagi kelihatan di Tanah Perkuburan Islam dekat sebuah masjid.
Difahamkan, tanah perkuburan yang menyimpan lebih 100 kubur itu lesap apabila sebuah syarikat pemaju yang menaik taraf masjid berkenaan didakwa menimbus tanah setinggi empat kaki di atasnya.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati, kebanyakan batu nisan dibuang berselerakan di kawasan penempatan penduduk kampung berkenaan kira-kira 50 meter dari tanah perkuburan tersebut. - Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment